SELEPAS mengharungi 14 perlawanan Liga Super 2023, Sabah FC menunjukkan tanda-tanda bahawa pasukan tersebut mula bergelut untuk memberikan saingan di kelompok teratas liga.
Dua kekalahan berurut-turut direkodkan skuad Sang Badak dalam aksi terakhir liga meletakkannya kini berada di kedudukan kelima liga hasil daripada 24 mata.
Keputusan tewas itu masing-masing di tangan Kedah FC 1-2 dan kekalahan mengejut ketika melawan PDRM FC 0-1.
Perkembangan tersebut menyebabkan Sabah FC kini mendekati untuk terjerumus di kelompok pertengahan liga apabila hanya dibezakan dengan empat mata berbanding Terengganu FC yang berada di tangga ketujuh dengan 20 mata.
Sejak mengalami kekalahan sulung 0-4 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada 31 Mac lalu, skuad Sabah FC mengalami keciciran sebanyak 13 mata daripada 24 mata maksimum yang boleh diperolehi daripada lapan perlawanan diharungi.
Sabah FC tewas 0-1 dalam perlawanan terakhirnya ketika menentang PDRM FC pada 8 Jun lalu. — Facebook/PDRMFC
Ia menyebabkan Sabah FC kini semakin menjarakkan kedudukannya daripada pasukan di tangga kedua liga kepada tujuh mata dibandingkan Selangor FC yang memungut 31 mata dan empat mata beza dengan Kedah FC dan Sri Pahang FC yang masing-masing berkongsi 28 mata.
Disebabkan itu, berbaki 11 perlawanan yang akan datang, Sabah FC dilihat tidak boleh lagi dengan mudah keciciran mata sekiranya mahu menamatkan saingan di kedudukan lebih baik berbanding musim lalu yang menyaksikan skuad Sang Badak berjaya menghuni tangga ketiga liga.
Majoriti menggariskan tiga penambahbaikan yang boleh dilakukan Sabah FC sekiranya mahu mengembalikan momentum kemenangan pasukan:
1. Perubahan formasi baharu
Kim Swee (kiri) menjadikan sistem 433 sebagai formasi utama Sabah FC. — Facebook/SabahFootballClub
Ekoran daripada beberapa kekalahan direkodkan sebelum ini, ramai penyokong mula mempersoalkan keberkesanan sistem 4-3-3 yang digunakan pengendali skuad Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee sebagai formasi utama pasukan.
Ini kerana dengan formasi tersebut, pasukan dilihat bergelut untuk menampilkan aksi terbaik terutamanya apabila bertemu pasukan di kelompok empat teratas liga.
Untuk rekod, Sabah FC hanya berjaya sekali untuk mengutip tiga mata penuh menang sekali ketika menentang Selangor FC.
Manakala baki tiga pasukan lagi menyaksikan skuad Sang Badak merekodkan dua kekalahan masing-masing di tangan JDT 0-4, Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-2 dan satu seri ketika menentang Sri Pahang FC yang berakhir dengan jaringan 1-1.
Dalam pada itu, Sabah FC juga sukar untuk memperoleh kemenangan apabila hanya sekadar seri ketika melawan Negeri Sembilan FC 1-1, Terengganu FC 2-2.
Segelintir peminat berpandangan tindakan Kim Swee untuk kekal dengan sistem formasi menyebabkan corak permainan pasukan lebih mudah untuk dibaca.
Sehubungan itu, mereka berpandangan pasukan seharusnya menerapkan formasi yang lebih bervariasi termasuk dengan beralih kepada sistem yang lebih konservatif seperti 4-4-2.
Jelasnya, ini bagi membolehkan skuad lebih stabil khususnya di bahagian tengah bagi menyukarkan pihak lawan melepasi barisan pertahanan pasukan terutamanya ketika berhadapan dengan kelab lebih kuat mahupun setanding dengan Sabah FC.
2. Membawa pemain baharu berimpak tinggi
Cifuentes (kiri) ketika beraksi bersama Kelantan FC pada musim ini. — Facebook/SabahFootballClub
Sabah FC membuat kejutan awal pada jendela perpindahan pertengahan musim kali ini selepas mengumumkan pasukan itu berjaya menyambar tonggak utama Kelantan FC iaitu Miguel Cifuentes.
Versatiliti yang dimilik pemain kelahiran Sepanyol itu sememangnya memenuhi ciri pemain diperlukan Sabah FC, iaitu berkebolehan menghasilkan gol.
Ini kerana corak permainan Sabah FC dilihat tidak bergantung kepada penyerang untuk membuat jaringan.
Untuk rekod, Cifuentes yang lebih dikenali sebagai Cifu berjaya menjaringkan empat gol dan satu bantuan jaringan ketika bersama Kelantan FC, iaitu pasukan yang kini sedang bergelut di dasar liga.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana Kim Swee bakal menggunakan khidmat Cifu memandangkan posisi sayap kanan kini dilihat sudah diisi oleh pemain sayap sensasinya iaitu Saddil Ramdani.
Namun begitu, difahamkan Cifu yang berusia 32 turut memiliki kebolehan untuk beraksi di beberapa posisi lain termasuk di bahagian tengah menyerang dan penyerang.
Pada masa sama, persoalan lebih penting adalah sejauh manakah pemain berketinggian 1.73 meter (m) itu mampu dengan pantas menyesuaikan diri bersama pasukan skuad Sabah
3. Gembleng pengalaman pemain otai
Amri ketika sesi latihan bersama skuad Sabah FC. — Facebook/SabahFootballClub
Sejak musim lalu, skuad Sabah FC sememangnya diketahui turut menempatkan beberapa pemain berpengaruh yang berpengalaman di Liga Malaysia.
Meskipun sudah berusia, namun pengalaman dimiliki pemain yang juga ada antaranya berstatus bekas pemain kebangsaan sememangnya berpotensi untuk digunakan dalam membantu pasukan beraksi dengan lebih konsisten dan menyakinkan.
Ini terbukti apabila salah seorang daripadanya iaitu Baddrol Bakhtiar atau lebih dikenali sebagai Kapten Marvel menjadi antara pemain penting kepada skuad Kim Swee pada pusingan pertama liga.
Bagaimanapun, terdapat seorang lagi pemain yang dikategorikan sebagai otai dilihat masih belum digunakan sepenuhnya khidmatnya pada musim ini, pemain sayap kanan Amri Yahyah.
Pada musim ini, Amri,42 dilihat lebih kerap digunakan sebagai pemain gantian semasa perlawanan.
Namun begitu, tempoh waktu yang singkat itu dilihat tidak mencukupi untuk membolehkan bekas legenda Selangor itu mempengaruhi keputusan aksi terbabit.
Disebabkan itu, Amri yang juga pemain sangat dihormati di dalam kalangan skuad Sabah FC perlu diberikan peluang bagi menjadi pilihan dalam kesebelasan utama pasukan khususnya dalam perlawanan tertentu yang memerlukan khidmat bantuan pengalamannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram