Pemain berusia 20 tahun sesuai ganti Stuart Wilkin ketika aksi Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Stuart mempamerkan aksi yang kurang berkualiti ketika berdepan Kepulauan Solomon sebelum ini. — Facebook/FAM

KEMENANGAN skuad kebangsaan ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu lalu membuktikan kualiti pasukan itu sukar untuk dipersoalkan.

Meskipun dibolosi pada awal permainan berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan, keampuhan jentera serangan menyaksikan pasukan negara meraih keputusan 4-1 dengan selesa.

Kejayaan tersebut pastinya cukup menggembirakan penyokong bola sepak tanah air, termasuk ribuan yang hadir di stadium itu bagi menyaksikan persembahan anak-anak buah Kim Pan-gon.

Namun, perasaan itu seperti tidak dirasakan ketua jurulatih dari Korea Selatan tersebut memandangkan mereka kini sedang dalam fasa persiapan terakhir untuk ke Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada awal tahun depan.

Selain gagal mencatatkan 'clean sheets', skuad Harimau Malaya juga tidak dapat menampilkan aksi terbaik dengan beberapa aspek perlu ditambah baik, terutamanya di jentera tengah pasukan.

Walaupun pemain Johor Darul Takzim, Syamer Kutty Abba meraih anugerah pemain terbaik perlawanan, ia tidak menceritakan situasi penuh dengan rata-rata penonton berasakan pasukan itu masih gagal mengawal rentak sepanjang 90 minit permainan.

Jadi, isu tersebut pastinya diberikan penekanan oleh Pan-gon menjelang aksi kedua persahabatan menentang Papua New Guinea di venue sama pada Selasa akan datang.

Antara yang diharapkan agar digugurkan daripada pertembungan itu ialah pemain Sabah FC, Stuart Wilkin berikutan kebolehan Syamer sukar dipersoalkan selain seorang lagi jeneral tengah, Endrick dos Santos beraksi dengan cukup baik.

Bagaimanapun, dengan Natxo Insa dilaporkan sudah pulang ke JDT berikutan isu kecederaan, calon yang terbaik untuk beraksi sebagai pemain tengah dengan peranan seperti Stuart pastinya sukar dicari.

HARIMAU-MALAYA-1

Nooa pernah berpeluang menyertai pasukan kebangsaan pada awal tahun lalu. Facebook/FAM

Tetapi, kegusaran itu seolah-olah tIdak lagi menghantui rata-rata penyokong Harimau Malaya memandangkan pemain berdarah kacukan Finlad-Malaysia, Noaa Laine dilihat sudah melaporkan diri dalam sesi latihan pada Jumaat.

Kehadiran pemain berusia 20 tahun itu pastinya diterima dengan tangan terbuka apabila pemain berkenaan pernah menampilkan aksi cukup baik semasa menyarung jersi kebangsaan dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

"Mantap, mungkin Noaa Laine akan bermain untuk aksi selepas ini. Bagi aku, dia ni bukanlah tidak bagus. Cuma, gaya permainannya seolah-olah Hong Wan yang gemar mengawal bola sebelum membuat hantaran kepada rakan sepasukan," kata Fiq Nabil.

"Harapnya, Pan-gon boleh pilih untuk letakkan Noaa dan gugurkan Stuart Wilkin terlebih dahulu. Cuma, tak pasti bagaimana dia boleh sesuaikan diri dengan gaya permainan ketika ini," ujar Pak Tam.

"Apabila tengok Stuart sebelum ini, boleh rasanya untuk kita cuba letakkan Noaa dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang Papua New Guinea," kata Halim Karim.

Sebelum ini, pemain kelab Finland, SJK Seinajoki itu melakukan debut buat skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Meskipun memilih untuk kekal di negara Eropah itu, kemampuan Noaa cukup baik dengan penyokong terus mendambakan kelibatnya dalam pasukan kebangsaan menjelang persiapan ke Piala Asia Qatar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram