Menjelang aksi menentang Papua New Guinea, 3 nama wajar ditampilkan Kim Pan-gon


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Skuad Harimau Malaya sedang melakukan latihan persiapan bagi perlawanan persahabatan menentang Papau New Guinea pada 20 Jun ini. — FAM

SKUAD Harimau Malaya berjaya meneruskan rentak positif apabila menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang diadakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu.

Meskipun bermula dengan agak gugup selepas dibolosi pada minit awal permainan, skuad kendalian Kim Pan-gon berupaya bangkit untuk memperoleh kemenangan selesa bagi mengalahkan pasukan lawan yang berada di ranking 134 dunia, iaitu empat anak tangga di atas skuad negara yang kini menghuni kedudukan 138.

Empat gol itu diperoleh masing-masing hasil sumbangan jaringan daripada pemain tengah Paulo Josue; pemain sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Safawi Rasid serta pemain tengah, Lee Tuck.

Kemenangan ketiga daripada tiga aksi perlawanan persahatan antarabangsa Tier 1 itu tentunya menaikkan lagi moral pasukan negara untuk membentuk skuad lebih mantap menjelang tempoh berbaki tidak sampai enam bulan sebelum berlangsungnya Piala Asia 2023.

Seperti yang diketahui umum, rangka jadual beberapa perlawanan persahabatan dilalui Harimau Malaya kini merupakan sebahagian daripada persiapan untuk membentuk skuad terbaik negara bagi menghadapi kejohanan paling berprestij di peringkat Asia itu pada Januari tahun depan.

Dalam tiga perlawanan awal ini, Pan-gon dilihat masih lagi berada di fasa percubaan dengan jurulatih itu didapati masih sedang mencari-cari bukan sahaja corak permainan, tetapi juga gandingan terbaik bagi membawa nama negara pada saingan piala tersebut.

Sebagai contoh, di bahagian serangan sahaja, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dilihat masih terbuka untuk mencuba dua formasi utama iaitu antara sistem target man mahupun false nine.

354039054_963300401409863_8588632132672465809_n

Kesebelasan utama skuad negara ketika menentang Kepulauan Solomon pada Rabu lalu. — FAM

Dalam perlawanan terakhir pada Rabu, Pan-gon meninggalkan sistem target man yang digunakan dalam dua perlawanan persabahatan sebelum ini pada Mac lalu melalui penampilan penyerang, Darren Lok dengan mengguna pakai sistem false nine.

Tindakan itu ternyata memberi ruang kepada pemain di posisi tengah menyerang dan sayap untuk lebih menyerlah dalam memberikan pengaruhnya terutamanya daripada segi aspek menjaringkan gol kepada skuad negara.

Dalam kedua-dua sistem tersebut, pemain utama dilihat berjaya menyesuaikan diri dan memberikan impak besar kepada pasukan tentunya pemain sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim.

Selain daripada pertukaran formasi, Pan-gon dilihat turut giat mencuba beberapa gandingan pemain di kesemua posisi termasuk barisan pertahanan, tengah dan sayap.

Ini terbukti apabila 10 daripada pemain yang dipanggil untuk panggilan kali ini merupakan pemain baharu berbanding senarai sebelum ini antaranya Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim, Azam Azmi Murad, Lee Tuck dan Syahir Bashah.

Pan-gon kini dilihat masih mempunyai masa sehingga November ini mencari pemain gandingan terbaik untuk dimuktamadkan sebelum skuad Harimau Malaya memulakan perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026.

Disebabkan itu, Majoriti menggariskan tiga pemain yang dilihat wajar ditampilkan jurulatih kebangsaan itu pada aksi menentang Papau New Guinea pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu:

1. Daniel Ting

353445446_962160498190520_3420742263049409276_n

Daniel (kiri) ketika sesi latihan bersama skuad negara. — FAM

Pemain kacukan Malaysia-England itu berjaya membuktikan kehebatannya apabila dia dipilih untuk menjadi menjadi kesebelasan utama skuad Sabah FC dalam 12 daripada 14 perlawanan diharungi pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Meskipun kedudukan Corbin Ong sebagai pemain utama bek kiri skuad negara seakan-akan sukar dicabar, Pan-gon dilihat seharusnya perlu memberikan peluang kepada Daniel Ting untuk mendapatkan keserasian meskipun beraksi sebagai pilihan kedua di posisi tersebut.

Kehadiran pemain sokongan yang berkaliber di posisi itu tidak seharusnya diambil mudah kerana terdapat pelbagai kemungkinan boleh berlaku lebih-lebih lagi liga masih lagi berjalan.

Lebih menarik, Daniel, 31, juga mempunyai kebolehan menyumbang dari aspek serangan yang agak baik dengan dia berjaya merekodkan empat gol kepada skuad Sang Badak di sebalik posisinya yang beraksi sebagai pertahanan.

Pada masa sama, dia juga mempunyai versatiliti untuk bermain di bahagian pertahanan tengah sekiranya diperlukan, iaitu satu ciri yang sangat diperlukan untuk pasukan yang sedang bersaing dalam sesebuah kejohanan.

2. Mukhairi Ajmal

351133457_962160548190515_5525154509185204007_n

Mukhairi (kanan) semasa sesi latian bersama skuad negara. — FAM

Meskipun baru berusia 21 tahun, kematangan aksi ditonjolkan Mukhairi Ajmal di bahagian tengah padang sememangnya setanding dengan pemain senior lain di posisi sama.

Pada musim ini, Mukhairi berjaya meletakkan dirinya sebagai pemain utama skuad Selangor FC yang kini berada di tangga kedua Liga Super 2023.

Mukhairi yang banyak bermain di posisi tengah kanan dilihat berjaya menajamkan lagi aspek menyerang dalam corak permainan yang ditampilkan.

Ia selepas dia berjaya merekodkan dua jaringan dan dua bantuan gol selepas 12 aksi ditampilkan bersama skuad The Red Giants.

Antara yang mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air tentunya keupayaan untuk menghasilkan gol melalui rembatan deras dari luar kotak penalti.

Dalam tiga perlawanan terakhir skuad kebangsaan, posisi tengah kanan negara dilihat lebih kerap diisi oleh pemain Johor Darul Takzim (JDT), iaitu Endrick Dos Santos.

Namun begitu, Pan-Gon dilihat tetap berpotensi untuk menukarnya dengan pemain lain apabila Azam Azih sebelum ini didapati mengisi bahagian tersebut ketika aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 28 Mac lalu.

3. Syahmi Safari

1980505

Syahmi (kiri) bukan sahaja berkebolehan untuk menyumbang gol tetapi juga membut hantaran lolos bagi membantu pemain lain untuk membuat jaringan. — Agensi

Seperti musim sebelum ini, Syahmi Safari dilihat masih bergelut untuk menempatkan diri sebagai pemain utama skuad JDT.

Namun begitu, keputusan Pan-gon untuk terus memanggilnya berlatih bersama skuad Kebangsaannya tentunya membawa maksud pemain itu mempunyai sesuatu untuk disumbangkan.

Selain Matthew Davies, Syahmi dilihat turut perlu bersaing bersama Quentin Cheng bagi merebut tempat di posisi tersebut.

Namun begitu, berbanding Cheng, anak kelahiran Kuala Selangor itu ternyata mempunyai pengalaman lebih luas bersama skuad kebangsaan.

Malahan, dari segi kebolehan untuk membantu barisan serangan pula, Syahmi, 25, didapati memiliki kelebihan berbanding Matthew dan Cheng melalui hantaran lolosnya mahupun rembatan dari luar kotak penalti.

Disebabkan itu, keupayaan tersebut pastinya amat ditagih sekiranya skuad negara memerlukan elemen kejutan untuk mengubah perlawanan berpihak kepada Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram