Bojan: Tiada badi yang tak boleh dilenyapkan selepas satu tempoh panjang


  • Podium
  • Ahad, 18 Jun 2023

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak. — Facebook/ MFL

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

APA saja daripada kepercayaan tahayul, ‘sumpahan’ yang panjang mahupun badi yang berlarutan, Bojan Hodak yang mahu menyerlahkan dirinya sebagai seorang optimis, sentiasa ada jawapan terhadap setiap satu daripada perkara berkenaan.

Bagaimanapun, dua perkembangan terbaru membabitkan sama ada tuah atau malang undian –terpulang bagaimana ia mahu dilihat -- sudah mengubah sedikit kepercayaannya terhadap faktor nasib.

Dijadualkan berdepan Terengganu FC dalam aksi separuh akhir Piala FA, dan kemudian diundi pula untuk menjadi tetamu kepada Penang FC dalam perlawanan pertama Piala Malaysia, ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KLC) FC itu enggan lagi melihat gelanggang kedua-dua lawan itu sebagai badi buat mereka.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 09.40.10 (1)

Pasukan KL City FC menewaskan Sabah FC dalam saingan Piala FA. — Facebook / MFL

“Sepanjang tiga tahun terakhir ini, kami sudah memecahkan banyak sumpahan. Sama seperti perlawanan-perlawanan ke hadapan ini, saya percaya kami akan melenyapkan banyak badi yang lain pula,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.

Bojan tentunya merujuk kepada bagaimana ketika mereka tidak diberikan sebarang harapan, KLC FC mencipta kejutan dengan mengalahkan Johor Darul Takzim (JDT) 2-0 dalam final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) pada tanggal 30 November 2021.

Seterusnya, dalam kemunculan sulung mereka, skuad Warga Kota itu mara sejauh perlawanan akhir Piala AFC tahun lalu hanya untuk tunduk kepada kelab Oman, Al-Seeb, 0-3 di SNBJ pada 22 Oktober 2022.

“Mengambil kira Kuala Lumpur tidak menang apa-apa selama 30 tahun (sejak kali terakhir menjuarai Piala Malaysia dengan menundukkan Kedah 2-1 dalam final 1989), pasukan ini sudah kembali sebagai antara pencabar gelaran selepas sekian lama.

“Ia juga menunjukkan apa saja sumpahan yang panjang boleh dileburkan dan badi yang berlarutan untuk sekian lama boleh ditamatkan pada suatu hari,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 09.40.10

Sekitar aksi menarik yang ditampilkan oleh The City Boys ketika menentang The Rhinos. — Facebook / MFL

Dalam pada itu, Kuala Terengganu, sama ada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), jelas bukan ‘medan pemburuan’ yang baik buat skuad Warga Kota itu apabila kedua-dua pasukan bersemuka pada 25 Jun ini.

Menurut rekod Soccerway, Kuala Lumpur tidak pernah menang ke atas Terengganu FC di tempat lawan sejak 2018, dengan pertemuan terbaru di antara kedua-dua pasukan dalam Liga Super pada 5 Mac lalu berkesudahan 0-0.

Malah, kali terakhir skuad Warga Kota itu membawa pulang tiga mata dari Kuala Terengganu ialah daripada aksi Piala Malaysia yang berkesudahan 3-2 pada 15 September 2018.

Stadium Bandaraya, Pulau Pinang juga menyaksikan nasib mereka tidak pun berbeza -- tiga mata dalam saingan Liga Malaysia belum pernah dikecapi Bojan di sana sejak menggalas tugas ketua jurulatih KLC FC pada 2021.

Sepanjang tempoh itu, rekod menunjukkan Penang FC meraih kemenangan 1-0 ke atas skuad Warga Kota itu dalam aksi Liga Super dan seri 1-1 dalam saingan Piala Malaysia (kedua-duanya pada 2021) di samping mengulangi keputusan 1-0 dalam Liga Super musim lalu.

Pertemuan terbaru di antara kedua-dua pasukan di Stadium Bandaraya, 8 Jun lalu, memaksa perkongsian mata dalam keputusan 1-1 yang turut dicemari masing-masing satu kad merah.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 09.30.36 (1)

Aksi Kipre membolosi gawang Harimau Kumbang pada awal babak pertama permainan. — Facebook / MFL

Menurut catatan Livescore, kali terakhir KLC pulang dengan kemenangan ialah menerusi aksi Piala FA dengan keputusan 4-2 pada 2019. Ada juga dakwaan yang mereka tidak pernah menang di Stadium Bandaraya sejak 1987 – dengan seorang peminat di Twitter menyorot bahawa mereka melalui kemarau panjang tanpa kemenangan dalam 16 perlawanan sepanjang tempoh 36 tahun itu.

Cuma, berbanding Piala FA yang berformat satu perlawanan kalah mati, aksi Piala Malaysia pula membabitkan perlawanan secara timbal balik.

“Kedua-dua undian (berdepan Terengganu FC dan Penang FC) nampak tidak memihak kami. Terengganu menunjukkan mereka sudah jauh meningkat dari sebelumnya dan Penang tidak mudah dikalahkan di gelanggangnya sendiri.

“Dalam bola sepak, mana-mana pasukan pun termasuk yang terbaik di dunia, memerlukan sedikit tuah. Kami bukan sebuah pasukan yang bersandarkan kepada nasib tapi harap-harap ia memihak kepada kami kali ini,” katanya.

Laptop Cabuk pada 9 April lalu turut berkongsi bahawa Bojan seorang yang cenderung kepada kepercayaan tahayul – KLC tidak pernah kalah di tempat sendiri sepanjang musim 2021 sejak dia menyarung baju T merah dan bib kuning yang sama dalam setiap perlawanan.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 09.30.37

Barisan pemain The City Boys meraikan gol pertama dalam babak pertama. — Facebook / MFL

Seperkara lagi yang meyakinkannya akan perubahan nasib ialah hakikat bahawa KLC sebelumnya tidak pernah kekal lama dalam Liga Super, dengan kekerapan diturunkan divisyen seakan-akan sudah menjadi lumrah tapi ia tidak lagi demikian.

“Anda boleh semak rekod. Kuala Lumpur, selepas era gemilangnya pada penghujung 90-an, sentiasa diturunkan divisyen selepas satu, atau paling lama dua musim, dalam saingan tahap tertinggi.

“Tapi musim ini adalah yang ketiga berturut-turut kami kekal bersaing dalam Liga Super. Terpulang kepada anda sama ada mahu percaya atau tidak tapi saya berasa sedap hati yang kami sudah terlepas daripada sumpahan seperti itu,” katanya lagi.

Jurulatih berbangsa Croatia berusia 52 tahun itu juga percaya pasukannya sedang mendaki graf peningkatan ketika ini berbanding ketika dibelenggu krisis kecederaan pada awal musim hingga mereka tidak menang selepas mengharungi lima perlawanan pertama.

“Dalam 11 perlawanan terakhir, kami menang lapan daripadanya. Prestasi kami sepanjang pusingan pertama liga (13 perlawanan) adalah yang terbaik sejak beberapa musim kebelakangan,” ujarnya.

Tidak pun perlu dituturkannya, itu bermaksud sebarang kebimbangan harus di pihak Terengganu FC dan Penang FC yang bakal menjadi lawan mengikut tuah atau malang kedua-dua undian saingan kalah mati, dan bukan untuk mengganggu tidur malam anggota skuad Kuala Lumpur FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram