PINTU jendela perpindahan kedua Liga Super yang bakal dibuka pada Julai nanti pastinya ditunggu-tunggu oleh kebanyakan kelab termasuk penyokong yang mahukan pasukan kesayangan masing-masing memperbaiki kelemahan dengan membawa masuk pemain baharu.
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) contohnya, cukup hangat diperkatakan sedang memburu tiga wajah baharu, sekali gus tidak ketinggalan dalam perancangan untuk membuat rombakan dalam pasukan tersebut.
Sebelum ini kecoh diperkatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali dan Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain berbincang dan merancang kemungkinan dua atau tiga pemain baharu akan dibawa Julai ini.
Pemain Sang Kenari meraikan gol hasil jaringan Amirbek. — Instagram/ kedahdarulamanfc
Bagi mendapatkan kepastian tentang khabar angin tersebut, Majoriti menghubungi Khamal Idris untuk mengetahui perancangan dan sasaran Sang Kenari dalam memantapkan lagi skuad Kedah yang kini cukup cemerlang berada di kelompok tiga pasukan teratas di belakang JDT dan Selangor FC.
Khamal Idris mengesahkan perkara tersebut sememangnya dalam perancangan pihak pengurusan dan beliau tidak menolak kelab bakal menerima tonik baharu menjelang perpindahan kedua nanti.
Menurutnya, khabar angin mengenai kemasukan pemain baharu itu benar namun perkara tersebut masih dalam perancangan pihak pengurusan untuk mendapatkan pemain yang berkualiti.
"Kita hanya mencuba sahaja, kita memang ada rancang, tapi tak confirm lagi sehingga jendela perpindahan dibuka nanti baru kita boleh kongsikan butiran dengan lebih lanjut nanti," katanya.
Mengulas lanjut mengenai muka baharu KDA FC kelak, Khamal Idris juga memaklumkan bahawa mereka terdiri daripada pemain tempatan dan import untuk dibawa masuk membantu pasukan Sang Kenari dalam pusingan kedua liga.
"Calon memang sudah ada cuma kita tidak boleh nak expose sebab benda tak confirm lagi.
"Local ada, luar negara pun ada dan jumlah yang dibawa masuk masih dalam Research dan Development (RnD)," katanya.
Ketika ditanya jika terdapat kemungkinan bekas pemain KDA FC dibawa masuk kembali untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan tersebut, Khamal Idris enggan mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu ada khabar angin lain yang timbul.
"Untuk perkara ini, saya tidak boleh kongsikan kerana nanti macam-macam rumours pula akan dikeluarkan," katanya menjawab desas-desus kononnya bekas pemain KDA FC yang kini beraksi bersama Sabah FC iaitu Rizal Ghazali bakal kembali menyarungkan jersi Hijau Kuning.
Malah penyokong juga mengaitkan masa depan bekas pemain sayap pasukan itu, Mahmoud Al-Mardi yang dikatakan akan turut bersama skuad utara itu pada Julai itu.
Di samping itu, CEO Sang Kenari turut memberikan bayangan bahawa kemasukan pemain sama ada tempatan atau import pastinya seorang pemain yang memiliki kelebihan yang cemerlang untuk mengisi posisi yang dilihat kurang sempurna ketika ini.
"Kita tengoklah bahagian mana yang lemah, kita cuba untuk mengisi tempat-tempat tersebut," katanya lagi.
Oleh itu, kemasukan pemain baharu dalam pasukan Hijau Kuning pastinya diharapkan mampu memintas kedudukan Selangor FC yang ketika ini menghuni tempat kedua carta liga selepas Johor Darul Tazkim (JDT) kekal mengungguli tangga pertama Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram