KEJAYAAN menewaskan Kaiya Ota dari Jepun pada Jumaat, sekali gus meraih gelaran Raja Pecut Asia, meningkatkan keyakinan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk menyaingi juara dunia empat kali berturut-turut, Harrie Lavreysen selepas ini.
Mohd Azizulhasni,35, yang menewaskan Ota 2-0 pada final acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) pada Jumaat berkata, kemenangan itu menunjukkan beliau berada di landasan tepat dan dalam kondisi yang baik untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 3-12 Ogos ini.
Ota, pelumba meningkat naik berusia 23 tahun, sebelum ini memberikan saingan sengit kepada Lavreysen pada final acara pecut Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta, Februari lepas, namun akhirnya tewas kepada pelumba Belanda itu 2-0.
Mohd Azizulhasni pada masa sama menyatakan bahawa saingan di peringkat Asia semakin sengit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pelumba dari negara seperti Jepun, Malaysia dan China, sudah menjadi pencabar pingat peringkat dunia.
"Saya tahu Ota ialah pelumba pecut berkelas dunia dan di Jakarta dia berlumba dengan Harrie. Jadi, saya rasa kalau boleh kalahkan dia dekat sini, saya dalam kondisi yang baik untuk Kejohanan Dunia, dan sekarang dah kalahkan beliau, saya tak sabar untuk (bersaing) di acara dunia itu.
"Bukanlah nak kata saya boleh kalahkan Harrie, tetapi kita tidak tahu (apa yang boleh berlaku dalam perlumbaan). Kemenangan ini menunjukkan bahawa saya menuju ke haluan yang betul dan semakin hampir, (perlu) kekalkan kondisi ini dan tak nak cedera atau sakit,” katanya.
Beliau yang juga dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ meraih pingat emas ke-11 ACC pada Jumaat menerusi acara pecut buat kali ketujuh, selepas kejayaan pada 2008, 2009, 2014, 2017, 2019 dan 2020.
Selepas rehat hari ini, Mohd Azizulhasni akan meneruskan pemburuan gelaran juara keirin sulungnya di Asia dalam tempoh lapan tahun, setelah kali terakhir merangkul gelaran dalam acara kegemarannya itu pada edisi 2015 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
"Sasaran saya satu emas, tetapi pastinya keirin acara kegemaran saya dan anda tahu saya, tak akan main-main, saya akan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Namun saya akan berlumba dalam keadaan kurang tekanan memandangkan sudah mencapai jangkaan.
"Saya tidak tahu apa rancangan daripada (Ketua Jurulatih) John Beasley, mungkin tolong Muhammad Shah Firdaus Sahrom, atau pergi untuk diri sendiri, tapi saya mahu raikan kemenangan ini dahulu,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram