Mirip Herold Goulon, skuad Jang peluang terakhir buat bintang tersisih JDT pikat Pan-gon


  • Podium
  • Ahad, 11 Jun 2023

Sebahagian aksi Junior dalam sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya. — Facebook/ FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengumumkan senarai 27 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 10 Jun 2023 untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Bekas pemain pinjaman pertahanan pasukan PT Prachuap FC, Junior Eldstal yang pernah bermain dalam saingan Liga Thailand turut dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk bersama-sama menghadapi perlawanan persahabatan tersebut.

Pengendali Harimau Malaya dari Korea Selatan itu memberikan peluang kepada pemain pertahanan tersebut untuk turut menyertai skuad kebangsaan.

WhatsApp Image 2023-06-11 at 00.43.12

Junior musim ini dipinjamkan oleh JDT ke kelab Thailand, PT Prachuap. — Instagram/ junioreldstal

Junior perlu manfaatkan peluang tersebut untuk memikat Pan-gon jika ingin meneruskan khidmat bersama skuad negara lebih-lebih lagi ketika pengendali itu sedang bereksperimen dengan kekuatan pasukan untuk menghadapi Piala Asia 2023.

Ini kerana, walaupun bakal bermain bersama skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan namun belum tentu dia akan mendapat tempat utama jika tidak memenuhi salah satu kriteria penting antaranya minit permainan.

Oleh itu, pemain warisan Sweden-Malaysia itu perlu menyertai mana-mana kelab Liga Super sebagai pinjaman untuk mendapatkan minit permainan agar dapat memikat hati pengendali skuad kebangsaan itu.

Pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu dilihat sesuai untuk menyertai pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai pengganti Herold Goulon yang dilaporkan mengalami kecederaan.

Walaupun Goulon dilihat beraksi bersama skuad The Jangs ketika perlawanan menentang pasukan Sri Pahang FC tetapi pastinya tiada jaminan pemain import dari Perancis itu akan bermain untuk aksi-aksi akan datang.

Pemain berusia 31 tahun itu dilihat sesuai untuk bermain bersama skuad Jang disebabkan oleh kelebihan fizikal dan ketinggian yang hampir sama dengan pemain pertahanan NSFC itu.

Selain itu, Goulon dan Junior juga mempunyai persamaan iaitu kedua-duanya bermain di posisi pertahanan yang menyaksikan Junior boleh bergandingan dengan rakan sepasukannya di JDT, Levy Madinda yang turut dipinjamkan ke NSFC.

Oleh itu, dengan minit permainan yang dikutip di skuad Hobin Jang Hobin, pastinya pemain berketinggian 1.91 meter itu mampu meletakkan diri dalam kelompok pemain yang boleh bersaing di Piala Asia nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram