Maaf peminat Coldplay, SNBJ tetap ‘rumah no.1’ Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Puluhan ribu penyokong bola sepak negara berputih mata selepas 21,000 tempat duduk di SNBJ terpaksa ‘dikosongkan’ bagi memberi laluan kerja pemasangan struktur pentas konsert Jay Chou pada menjelang aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 Malaysia bertemu Thailand pada 7 Januari lepas. — Bernama

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mempertahankan nama baik badan induk itu dalam isu ketersediaan Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, November depan.

Ia susulan penganjuran konsert kumpulan muzik British, Coldplay di Stadium Nasional pada 22 November dan aksi pasukan negara yang mungkin berlangsung sehari lebih awal di venue sama.

Hamidin berkata, FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih berada dalam tempoh perjanjian yang menyaksikan Stadium Nasional sebagai gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya.

"Saya perlu menyatakan FAM dan PSM memang ada kontrak dari dulu sehingga sekarang, bukannya MoU (perjanjian persefahaman). Harap perkara ini dapat diselesaikan apabila jadual (pusingan kelayakan) keluar pada Julai.

"Kontrak kita (dengan PSM) adalah gelanggang rasmi Harimau Malaya di Bukit Jalil, mungkin ada pihak yang salah faham, jadi kita pastikan selepas ini tidak berulang lagi,” katanya pada program Townhall Bersama Presiden FAM di Terengganu pada Khamis malam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator apakah punca menyebabkan penganjuran konsert itu berisiko menjejaskan aksi pasukan negara kendalian Kim Pan-gon, selepas timbul pelbagai spekulasi.

Pada Mac 2021, FAM dan PSM melanjutkan perjanjian bersama yang menyaksikan Stadium Nasional terus menjadi ‘Rumah Harimau Malaya’ hingga 31 Disember 2025.

Sebelum ini, Hamidin membuat kenyataan tidak akan membenarkan konsert Coldplay di Stadium Nasional mengganggu aksi skuad Harimau Malaya yang mungkin berlangsung sehari sebelum itu, mengambil kira tempoh persiapan konsert yang memakan masa.

Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan memastikan penganjuran konsert dan perlawanan pasukan negara berjalan dengan baik.

Pada 7 Januari lepas, puluhan ribu penyokong bola sepak negara berputih mata selepas 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional terpaksa ‘dikosongkan’ menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022 Malaysia bertemu Thailand.

Pengosongan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert seorang artis antarabangsa, Jay Chou yang berlangsung pada 15 Januari. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram