Masih belum tembus skuad utama Selangor FC, 3 sebab Van Dijk Malaysia perlu sertai The Jangs


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Nama Khuzaimi mula mendapat perhatian ramai ketika dia mewakili Negeri Sembilan FC. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KETIADAAN Khuzaimi Piee dalam senarai akhir 27 pemain yang dipanggil Kim Pan-gon bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak.

Pan-gon memanggil 10 pemain baharu termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck.

Manakala tiga pemain yang kembali dipanggil oleh Pan-gon ialah Natxo Insa, Junior Eldstal, Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac 2023.

Namun nama Khuzaimi yang diberi gelaran Van Dijk Malaysia itu tidak tersenarai dalam 27 pemain akhir.

Senarai 27 pemain yang dipanggil Pan-gon untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan. Facebook/FAM

Penyokong mula berteka teki punca utama ketiadaan Khuzaimi yang mesra dipanggil Jimmy di dalam skuad Pan-gon.

Malah ada yang menyatakan Khuzaimi perlu pulang semula ke Negeri Sembilan jika ingin terpilih beraksi bersama skuad kebangsaan semula.

Majoriti senaraikan tiga sebab utama kenapa Khuzaimi perlu pulang beraksi bersama skuad kendalian K.Devan menjelang jendela perpindahan kedua nanti:

Musim lepas Khuzaimi beraksi bersama Negeri Sembilan FC. Facebook/Negeri Sembilan FC

1. Naik bersama Negeri Sembilan

Umum mengetahui Khuzaimi mula mejadi perhatian ramai sejak beraksi bersama Negeri Sembilan FC sehingga dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Sebelum menyertai Negeri Sembilan, Khuzaimi tidak dipandang oleh mana-mana ketua jurulatih kebangsaan kerana sukar mendapat panggilan Harimau Malaya.

Namun sejak kehadiran Pan-gon, bek berkaki kiri ini berjaya menarik perhatian orang ramai apabila tersenarai dalam kesebelasan utama jurulatih kelahiran Korea Selatan itu ketika pertama kali mengendalikan skuad kebangsaan.

Selangor merupakan pasukan gergasi yang pernah disertai Khuzaimi kerana sebelum ini dia lebih banyak beraksi untuk pasukan kecil seperti Melaka FA, SAMB FC, PKNP FC dan UiTM FC.

Musim ini Khuzaimi menyertai Selangor FC. Facebook/Selangor FC

2. Dapatkan lebih minit permainan

Meskipun Khuzaimi hadir dengan reputasi sebagai pemain kebangsaan, dia masih belum berjaya menambat hati Tan Cheng Hoe untuk disenaraikan ke dalam kesebelasan utama pasukan Lembah Klang itu.

Antara faktor Khuzaimi masih belum dapat beraksi dalam kesebelasan utama Selangor ialah kerana baru pulih daripada kecederaan yang dialaminya semasa kempen Piala AFF 2022.

Cheng Hoe juga gemar menggunakan pemain-pemain muda seperti Shahrul Nazeem dan Harith Haikal untuk bergandingan bersama Yazan Al-Arab di benteng pertahanan.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, musim ini dalam Liga Super Khuzaimi hanya beraksi sebanyak 29 peratus, manakala di Piala FA sebanyak 26 peratus bersama Selangor FC.

Khuzaimi ketika menyarung jersi Harimau Malaya. Facebook/FAM

3. Rebut tempat dalam skuad Piala Asia 2023

Keutamaan ketika ini ialah usahanya dalam mendapatkan minit permainan bersama Selangor bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya yang bakal beraksi di Piala Asia 2023 Januari tahun depan.

Disebabkan itu, tempoh tujuh bulan akan datang dilihat waktu yang penting untuk Khuzaimi membuktikan bahawa kewibawaan prestasinya untuk dipanggil oleh Pan-gon.

Namu begitu, usaha tersebut dilihat sukar sekiranya dia terus dipinggirkan daripada skuad kendalian Cheng Hoe.

Pada masa sama, meskipun dilihat sebagai pemain regular dalam skuad kebangsaan sebelum ini, namanya hanya tersenarai dalam pemain bersedia kali ini.

Sehubungan itu, Khuzaimi dilihat tidak boleh menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan jika mahu mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan.

Ini kerana, Pan-gon dijangka bakal membuat senarai akhir pemain terbaik mewakili negara ke kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia itu dalam beberapa perlawanan persahabatan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram