Selain pukul kekasih, fans 'trigger' 3 lagi kes pemain Liga M pernah cetus kontroversi kurang dapat perhatian media


  • Podium
  • Ahad, 11 Jun 2023

Forkey Doe ketika ditahan oleh pihak polis. — Facebook

KARIER seorang pemain bola sepak profesional boleh terkubur dari arena sukan apabila mereka terpalit dengan isu kontroversi sehingga berada dalam siasatan polis.

Seperti kejadian yang menimpa pemain Manchester United, Mason Greenwood apabila masih tidak diberikan kesempatan untuk beraksi berikutan dakwaan bertindak ganas terhadap seorang wanita.

Walaupun tuduhan berkenaan sudah digugurkan pada tiga bulan lalu, namun pihak pengurusan Man United belum memberikan apa-apa jawapan mengenai masa depan pemain muda tersebut.

Kisah Greenwood itu bukan hanya berlaku di luar negara apabila kejadian sama turut terjadi kepada salah seorang pemain Liga Super.

Pada Khamis, seorang pemain yang dipercayai tonggak pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali didakwa melakukan keganasan fizikal kepada kekasihnya sehingga mendatangkan kecederaan serius terhadap wanita itu.

Rizal-Hana

Teman wanita seorang pemain bola sepak menjadi mangsa belasahan lelaki terbabit dalam kejadian di Petaling Jaya, pada Rabu.

Meskipun nasib Rizal bersama Sabah masih belum diketahui, namun sepertinya kelab Borneo itu tentu akan mempertimbangkan situasi bekas pemain Kedah Darul Aman FC itu dengan mengambil kira cerita kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini Majoriti ada menyenaraikan dua lagi kes melibatkan pemain tempatan sehingga memaksa campur tangan pihak polis.

Namun melihat kepada skop yang lebih besar, terdapat tiga lagi kes polis yang melibatkan pemain berstatus import dalam Liga Malaysia (Liga M)

Majoriti senaraikan tiga import yang pernah ditangkap pihak polis dan diharamkan untuk beraksi dalam Liga M:

Forkey Doe ditahan selepas kereta BMW model 325i yang dibawanya mempunyai nombor pendaftaran palsu. Facebook

1. Francis Forkey Doe

Bekas pemain import pasukan Selangor FC iaitu Forkey Doe pernah ditangkap oleh pihak polis kerana didakwa memiliki kereta curi pada 2017.

Forkey Doe ditahan di bandar Bandar Puteri Puchong, Selangor selepas dikatakan memiliki kereta jenama BMW versi klon.

Pemain berusia 37 tahun itu dikatakan ditahan selepas kereta BMW model 325i yang dibawanya mempunyai nombor pendaftaran palsu.

Forkey Doe, dihukum denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 8 Mei 2017.

Pemain kelahiran Liberia itu mengaku bersalah melakukan kesalahan sebaik pertuduhan terhadap dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Ketika itu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menegaskan, tidak akan berkompromi sekiranya pemain itu didapati bersalah melanggar undang-undang negara ini.

Ramez pernah beraksi bersama Selangor pada 2013. Facebook

2. Ramez Jamal Dayoub

Ramez Dayoub, antara pemain yang digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) atas dakwaan mengatur keputusan perlawanan pada 2013.

Penggantungan seumur hidup itu berlaku ketika dia beraksi bersama Selangor FC pada 2013 yang mana pemain berusia 38 tahun itu menjadi dambaan penyokong Gergasi Merah ketika itu.

Berita itu diterima oleh pihak pengurusan Selangor ketika Gergasi Merah sedang berada di Kolkata, India untuk perlawanan kumpulan H, Piala AFC menentang Bengal Timur pada 2013.

Selain penggantungan Ramez didenda sebanyak RM46,539 oleh LFA kerana terlibat skandal mengatur perlawanan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 antara Lubnan menentang Qatar di Beirut pada 2012.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengharamkan pembabitan Ramez dalam kancah Liga Malaysia.

Namun menurut laporan media, Dayoub ditamatkan hukuman penggantungan pada 2014 dan tidak beraksi dengan mana-mana pasukan profesional selepas itu.

Adigun membawa perubahan besar dalam bolasepak Kedah dibawah pimpinan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil. Facebook

3. Alubunmi Adigun

Alubunmi Adigun atau nama Islamnya Abdul Rahman Adigun adalah pemain import Kedah awal tahun 90-an yang membantu Kedah memenangi trofi kejuaraan Liga Semi Pro dan Piala Malaysia.

Adigun bukan sekadar pemain bola sepak Kedah, dia adalah legenda terawal dalam sejarah bola sepak Kedah sebelum kehadiran Marlon Alex James dan Liridon Krasniqi.

Mereka membawa persamaan yang serupa untuk anak-anak Kedah meminati bola sepak sehingga ke hari ini.

Adigun membawa perubahan besar dalam bolasepak Kedah di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Dia adalah idola kanak-kanak lewat tahun 90-an dengan keunikan bermain terlalu tenang di dalam padang, menimbang bola dengan cukup bersahaja dan meletakkan bola di belakang tengkuk ketika perlawanan berlangsung.

Cuma, namanya sedikit terpalit berikutan kes bersama seorang wanita berasal daripada Pendang, Kedah.

Berdasarkan laporan media, Adigun didakwa merogol seorang wanita tersebut, namun akhirnya dibebaskan daripada jaminan polis.

Dia kemudiannya memeluk Islam dan berkahwin sebelum dikurniakan seorang anak perempuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram