HASRAT penyokong Malaysia untuk melihat Natxo Insa melakukan penampilan semula bersama Harimau Malaya menentang Papua New Guinea pada Selasa tidak kesampaian.
Ia selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan melepaskan dua bintang Harimau Malaya itu ke pangkuan Johor Darul Takzim (JDT).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan FAM menerusi laman rasmi Facebook, Natxo dikatakan masih belum cergas sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada Selasa.
"Natxo hadir melapor diri bersama pemain-pemain lain pada 10 Jun lalu tetapi pemantauan harian oleh doktor dan ahli fisioterapi pasukan mendapati dia tidak bersedia untuk beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Kepulauan Solomon, Rabu lalu dan Papua New Guinea, Selasa ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Manakala seorang lagi bintang muda meningkat naik, Feroz Baharudin turut dilepaskan dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu ketika ini berikutan masalah kecederaan hamstring.
"Feroz diturunkan dalam kesebelasan utama pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu tetapi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-44 kerana mengalami kecederaan hamstring.
Dengan ketiadaan Natxo dan Feroz, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram