
SAGA mengenai pemilik baharu Manchester United seperti semakin memuncak apabila penyokong kelab itu semakin menanti-nantikan akan kehadiran hartawan dari Qatar, Sheikh Jassim Hamad al-Thani.
Berdasarkan beberapa laporan tidak rasmi, pemilikan Keluarga Glazers tidak akan berterusan dengan Sheikh Jassim sudah melakukan bidaan bernilai RM35 bilion pada awal minggu lalu.
Namun, sehingga kini, juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan, sekali gus menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
Baru-baru ini, berita akan pengambilalihan itu terus menjadi bahan usikan di media sosial sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penyokong skuad The Red Devils.
Keluarga Glazers mula didesak untuk meninggalkan Manchester United. — Agensi
Ini termasuk apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyamar sebagai wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano di ruangan Twitter.
Dalam satu ciapan menerusi akaun @FabriizioR0mano, individu tidak dikenali itu menyatakan Sheikh Jassim sudah sah menjadi pemilik baharu kelab.
Tindakan tersebut jelas menarik perhatian ramai dengan hantaran berkenaan terus tular di media sosial dengan orang ramai mula tertanya-tanya akan status kelab itu.
Awal minggu lalu, berita mengenai pengambilalihan Manchester United menjadi topik perbualan utama berikutan kenaikan harga saham kelab di bursa saham.
Hal itu menyebabkan ramai pihak terus tertanya-tanya mengenai nasib keluarga Glazers yang semakin tidak popular sejak menjadi pemegang saham pada 2003.
Walaupun sudah melakukan pelaburan besar-besaran setiap musim, kegagalan untuk merancang perkembangan dengan strategik menyaksikan Manchester United terus bergelut di mata penyokong bola sepak di peringkat global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram