Man United kempunan lagi, tonggak PSG ikut langkah Cristiano, Benzema


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Pasukan Al Hilal difahamkan bakal menerima sentuhan tonggak PSG. — Agensi

KELAB gergasi Arab Saudi, Al Hilal kini sedang giat memburu bintang Brazil, Neymar Junior pada jendela perpindahan musim panas ini bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan itu.

Penyerang berbisa yang menyertai Paris Saint-German (PSG), dengan perpindahan rekod dunia RM1.1 bilion pada 2017 itu dijangka meninggalkan juara Liga 1 tersebut.

Difahamkan, Neymar bakal menjadi pemain terbaharu meninggalkan PSG selepas Sergio Ramos dan Lionel Messi mengambil keputusan drastik dan wakil kelab Al Hilal sudah terbang ke Paris untuk mengadakan perbincangan bersama Neymar.

Gergasi Arab Saudi itu sebelum ini mensasarkan Messi namun kapten Argentina itu memutuskan untuk menandatangani kelab MLS Inter Miami awal bulan ini.

Oleh itu, kelab Al Hilal mengalihkan tumpuan kepada Neymar dan bersedia menawarkan gaji yang jauh lebih lumayan kepada bintang Brazil itu.

Neymar dijangka menerima gaji yang setaraf dengan bintang Al Nassr, Cristiano Ronaldo iaitu sebanyak RM992 juta.

Selain itu, Al Hilal bersedia menawarkan RM232 juta kepada PSG sebagai yuran perpindahan bagi mendapatkan Neymar yang memiliki kontrak sehingga 2025.

Pemain dari Brazil itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu kelab Manchester United, Chelsea dan Newcastle yang ingin mendapatkan khidmat bintang PSG tersebut.

Terdahulu, bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mengejutkan dunia bola sepak dengan menandatangi kontrak bersama kelab Al Nassr diikuti oleh bekas pemain Real Madrid, Karim Benzema yang mengikat persetujuan dengan Al Ittihad. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram