Pengalaman lawan JDT mampu bawa skuad Penyu pergi lebih jauh — Sony Norde


  • Podium
  • Khamis, 15 Jun 2023

Penyerang import Terengganu FC, Sony Norde optimis pasukannya mampu pergi lebih jauh dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook/TerengganuFC

PEMAIN sayap Terengganu FC, Sony Norde menegaskan impian untuk melihat pasukannya menamatkan saingan di kedudukan empat teratas sebagai satu perkara yang tidak mustahil.

Skuad Penyu kini berada di tempat ketujuh dalam kedudukan, selepas tewas 1-3 kepada Johor Darul Takzim (JDT) hujung minggu lalu.

Namun, melihatkan saingan sengit yang diberikan kepada pasukan itu sebelum ini yang hanya beraksi dengan sembilan pemain, membuatkan penyerang import itu optimis dengan kemampuan rakan sepasukannya.

"Kami menunjukkan semangat juang tinggi dan masih memberikan persembahan yang terbaik walaupun bermain dengan sembilan pemain.

"Kami juga mencipta banyak peluang. Saya percaya kami akan menjadi lebih kuat selepas perlawanan itu dan mampu menamatkan kempen musim ini di kedudukan empat teratas," katanya.

Sebelum tewas kepada JDT, Terengganu sebelum itu mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ketika menewaskan Pulau Pinang FC dengan keputusan 1-0 dan Perak dengan 3-0.

Berdasarkan kedudukan semasa, Terengganu kini berjaya mengumpul sebanyak 20 mata, dipisahkan dengan lapan mata di belakang pasukan tangga keempat, Sri Pahang FC.

Dalam 10 penampilan dimiliki, Norde telah menjaringkan empat gol dan menyumbangkan satu bantuan jaringan.

Pemain itu turut berazam untuk meningkatkan jumlah jaringan peribadinya sebaik saingan musim ini bersambung selepas rehat nanti yang bakal menyaksikan pertemuan kelab itu dengan Kedah FC pada 3 Julai.

Dalam pada itu, skuad Penyu terlebih dahulu akan membuat perhitungan dengan KL City FC dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada 25 Jun kelak.

Menjelang pertemuan tersebut, Norde dikhabarkan berhasrat untuk membawa Terengganu ke pusingan akhir.

"Itu amat bermakna buat seluruh peminat Terengganu," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram