Imbasan final Piala FA 2013: FAM yakin skim ganjaran RM1,000 mampu atasi isu pergaduhan di stadium


  • Podium
  • Khamis, 15 Jun 2023

Penyokong di stadium kerap kali terpalit dalam isu pergaduhan ketika membabitkan perlawanan bola sepak Malaysia. — Gambar hiasan

MENGIMBAU semula ketika musim 2013, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya bahawa sistem ganjaran yang mereka ingin perkenalkan pada perlawanan akhir Piala FA ketika itu mampu bertindak sebagai penghalang terhadap sebarang kekacauan serta gangguan tidak diingini di stadium.

Pengerusi Jawatankuasa FAM ketika itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan melanjutkan skim ganjaran berkenaan di perlawanan Liga Malaysia (Liga M) lain jika ia terbukti berhasil dalam perlawanan akhir Piala FA.

FAM pada 15 Jun 2013 mengumumkan skim ganjaran yang menjanjikan peminat wang tunai RM1,000 jika mereka dapat menangkap individu yang membuat masalah semasa perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 29 Jun tahun yang sama.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM ketika itu berkata, sistem ganjaran itu akan bertindak sebagai langkah pencegahan bersama 200 petugas yang akan ditempatkan pada hari perlawanan.

"Kami sedar perkara ini adalah subjektif dan orang ramai boleh mengeksploitasinya jadi, kami akan bekerjasama rapat dengan polis untuk mencegah sebarang penyalahgunaan.

"Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh sebaik si pelaku diserahkan. Mereka akan menyoal saksi selain kamera di tempat duduk akan digunakan untuk membantu polis dalam siasatan.

"Kami akan memberi ganjaran kepada peminat hanya selepas mendapat pengesahan daripada polis.

"Pihak FAM sedang mencuba sesuatu yang baharu di sini dan jika ia berjaya, kami mungkin melaksanakannya untuk perlawanan Liga M yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Hamidin juga dilaporkan berkata, seramai 200 marsyal, 100 daripada setiap pasukan akan diberi latihan khas oleh polis mengenai langkah kawalan orang ramai.

Selepas beberapa musim berlalu, perlawanan bola sepak di Liga Malaysia masih 'dihiasi' dengan kes pergaduhan serta rusuhan dalam kalangan penyokong di stadium.

Terbaharu, empat lelaki ditahan polis selepas terlibat dalam kekecohan yang berlaku di Stadium Perak ketika perlawanan antara skuad Seladang dan Selangor FC pada 21 Mei lalu.

Kempat-empat suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun itu disahkan positif dadah dan kesemua mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram