MENJELANG kempen Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada awal tahun depan, pelbagai persiapan sedang giat dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Antara pendekatan terbaik yang boleh dilakukan badan induk bola sepak negara itu ialah dengan mencari skuad terbaik berdasarkan pemain sedia ada.
Jadi, dengan beberapa aksi persahabatan antarabangsa dijadualkan bakal berlangsung sebelum pertandingan itu, masih terdapat ruang untuk mengenal pasti kesebelasan utama.
Menurut kalendar FIFA, dua perlawanan bakal berlangsung pada Jun yang mana skuad Harimau Malaya bakal berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.
Kedua-dua aksi tersebut dijangka akan memberi ruang buat ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk menguji pemain sebelum dibawa ke Qatar untuk aksi Piala Asia.
Antara nama yang sememangnya mencuri perhatian ialah pemain tengah berusia 37 tahun, Natxo Insa memandangkan dia jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Johor Darul Takzim (JDT).
Kali terakhir Natxo beraksi bersama skuad kebangsaan adalah pada 2018. — Facebook/FAM
Berdasarkan statistik setakat separuh musim, pemain berdarah kacukan Sepanyol-Malaysia itu hanya beraksi selama 66 minit secara keseluruhan dalam Liga Super.
Pemilihannya ke dalam kem latihan skuad kebangsaan sememangnya mengundang pelbagai tanda tanya dengan ramai berasakan terdapat calon lain lebih sesuai.
Bekas penyampai radio tanah air, Maskiran Jakiran juga tidak mahu ketinggalan mempersoalkan kehadiran Natxo dengan mengatakan pemain itu pernah beberapa kali menolak panggilan skuad kebangsaan sebelum ini.
"Wow... Botak dah boleh sarung jersi negara ke? Kau tak ada sakit jantung dah ke? Tak ada sakit ibu jari ke? Cuping telinga ke? Nenek kat Sepanyol tak demam ke? Keluarga semua dah ok ke?
"Bila Malaysia nak ke pusingan akhir Piala Asia baru nak main ya? Siapa punya ajaran lah ni? Pan-gon ikut je arahan lah ya?" soalnya.
Pandangan sinis itu dilontarkannya menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya, Kieranto Marcello yang secara terbuka mengkritik kehadiran pemain Villarreal FC itu.
Komen Maskiran yang mempersoalkan kehadiran Natxo Insa. — Facebook/Harimau Selatan X
Setakat ini, Natxo hanya merekodkan satu penampilan bersama skuad kebangsaan pada 2018 ketika mereka seri dengan Mongolia dalam aksi persahabatan.
Pandangan Maskiran, yang juga dikenali ramai dengan panggilan Kieran itu bagaimanapun memakan diri apabila dia kini menjadi bahan kritikan penyokong bola sepak tempatan, terutamanya yang mengikut perkembangan JDT.
Laman Facebook Harimau Selatan X merupakan antara yang memberi kenyataan balas terhadapnya dengan memberi komen sinis akan pendiriannya mengenai kehadiran Natxo.
"Sakit hati betul bekas DJ ni dengan JDT ye? (Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor) Izhar Moslim ada bagi job ke?" soalnya dengan nada gurauan.
Pertembungan dengan Kepulauan Solomon bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu sebelum aksi kedua dengan Papua New Guinea dijadualkan pada 20 Jun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram