'Setiap pasangan pasti bertengkar', Ronaldo terpaksa bayar kekasih setengah juta ringgit sebulan jika berpisah


  • Podium
  • Rabu, 14 Jun 2023

Model cantik, Georgina Rodriguez (kiri) akan menerima lebih setengah juta sekiranya berpisah dengan teman lelakinya, Cristiano Ronaldo. — Agensi

TEMAN wanita Cristiano Ronaldo, Georgina Rodriguez dikatakan mempunyai perjanjian dengan pemain bola sepak profesional tersebut sekiranya pasangan kekasih itu berpisah pada satu hari nanti.

Model cantik berusia 29 tahun itu yang sudah bersama bintang Al-Nassr berkenaan sejak Jun 2016, mempunyai dua anak bersama iaitu Alana Martina dan Bella Esmeralda.

Georgina turut menjadi ibu kepada tiga lagi anak mereka iaitu Cristiano Ronaldo Jnr serta dua kembar, Eva dan Mateo yang dilahirkan menerusi ibu tumpang.

Pasangan itu dikecualikan daripada undang-undang Arab Saudi yang tidak membenarkan pasangan belum berkahwin untuk tinggal serumah selepas Ronaldo membuat keputusan berhijrah ke negara itu, awal tahun ini.

Walaupun tidak berkahwin, namun menurut TV Guia, mereka sudah memiliki perancangan bagi memastikan Georgina mendapat bantuan kewangan jika kedua-duanya berpisah.

Difahamkan, perjanjian itu adalah menukar pemilikan rumah keluarga di Madrid, Sepanyol kepada Georgina selain dia turut menerima kira-kira 100,000 euro (RM500,000) setiap bulan untuk sepanjang hayatnya.

Nafkah bulanan itu adalah disebabkan Georgina menjadi ibu kepada lima anak Ronaldo dari aspek undang-undang walaupun bukanlah anak kandungnya.

Sebelum ini, pasangan itu dikatakan sudah berpisah pada bulan lalu namun ibu Ronaldo, Dolores membuat kenyataan umum mengenai hubungan anaknya dan menyifatkan khabar angin itu sebagai palsu.

"Setiap pasangan pasti bertengkar namun apa yang ditulis itu adalah satu pembohongan," katanya.

Ronaldo dan Georgina dilihat berada di negara asalnya, Sepanyol dalam satu acara untuk salah satu duta jenamanya di Madrid awal bulan ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram