NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
Percutian di villa milik sendiri bersama keluarga, keistimewaan variasi durian Balik Pulau dan gamitan pekerja restoran nasi kandar sentiasa membuat kunjungan Bojan Hodak ke Pulau Pinang amat dinanti-nantikannya.
Cuma, kali ini ada tambahan satu menu di dalam senarainya – tiga mata dalam saingan Liga Malaysia yang belum pernah dikecapinya sejak menggalas tugas ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KLC FC) pada 2021.
Sepanjang tempoh itu, rekod menunjukkan Penang FC meraih kemenangan 1-0 ke atas skuad Warga Kota itu dalam aksi Liga Super dan seri 1-1 dalam saingan Piala Malaysia (kedua-duanya pada 2021) di samping mengulangi keputusan 1-0 dalam Liga Super musim lalu.
Menurut catatan Livescore, kali terakhir KLC pulang dengan kemenangan dari Pulau Pinang ialah menerusi aksi Piala FA dengan keputusan 4-2 pada 2019.
Dalam pada itu, ada juga dakwaan yang KLC tidak pernah mengalahkan Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sejak 1987 – dengan seorang peminat di Twitter menyorot bahawa mereka melalui kemarau panjang tanpa kemenangan dalam 16 perlawanan sepanjang tempoh 36 tahun itu.
Barisan pemain skuad Warga Kota sekitar di padang latihan. — Facebook/KLCity
“Oleh kerana kami ada empat hari cuti selepas ini, saya memandu sendiri dengan membawa keluarga ke sana. Kami ada sebuah villa kondominium di Batu Feringghi (dimilikinya sejak 10 tahun lalu) yang tidak terlalu jauh dari dusun-dusun durian di Balik Pulau.
“Kami sekeluarga tidak sabar dengan percutian singkat ini di sebalik ada tugas yang harus saya laksanakan bersama pasukan,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
Tapi durian, nasi kandar?
“Oh ya, saya gemarkannya walaupun ia jarang didengar berkaitan seorang ‘Mat Salleh’. Saya juga tahu durian kerap dikaitkan sebagai satu sajian cabaran dalam ‘Fear Factor’ tapi saya sukainya, lebih- lebih lagi durian Balik Pulau (yang sedang dalam musim berbuahnya sekarang).
“Nasi kandar juga saya suka. Lagipun, pelbagai tempat di Asia sudah lama jadi kediaman saya,” katanya merujuk kepada perpindahan pertamanya selaku pemain di wilayah sebelah sini dengan mewakili kelab liga Singapura, Balestier Central, pada 1997 di samping pernah menjawat tugas Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC pada 2016.
Bercakap mengenai pertemuan dengan Penang FC di Stadium Bandaraya malam ini, Bojan bagaimanapun lebih terdorong untuk mengingati perlawanan sulung mereka bagi musim 2023 di Stadium Bola Sepak Cheras pada 25 Februari lalu yang berkesudahan 2-2.
KL sebelum ini seri 2-2 ketika aksi pertama menentang Harimau Kumbang. — Agensi
Perlawanan dicemari layangan lapan kad kuning itu – masing-masing empat kepada KLC dan Penang FC – adalah siri pertama dalam ketegasan ketua jurulatih itu mengemukakan deretan laporannya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berkisar kepada rasa tidak berpuas hatinya terhadap pengadil.
“Saya dan kelab sudah menghantar lima atau enam laporan berkaitan pengadil setakat ini,” katanya sambil menambah, “Saya bukannya anti-pengadil. Secara amnya, saya sangat OK dengan mereka. Cuma, apabila saya rasa ada keputusan yang tidak betul, saya akan hantar laporan.”
Tindakan Bojan itu turut menolak satu kenyataan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang sebelum ini menyamaratakan laporan yang diterima badan induk itu berkaitan pengadil – yang tidak sunyi daripada pelbagai kontroversi musim ini – sebagai kekecewaan pasukan yang kalah.
“Kami menang ke atas PDRM FC (3-0), Kelantan United (3-1) dan Sri Pahang FC (2-1) tapi masih hantar laporan. Saya elak mengkritik pengadil di dalam media kerana khuatir dikenakan denda, jadi saya hantar laporan yang disertakan dengan bukti video.
“Saya tak tahu apa hasil laporan-laporan ini atau ia hanya sia-sia. Tanyalah kelab jika FAM ada memberi apa-apa jawapan. Cuma, pada saya, kesilapan pengadil tidak harus didiamkan, tidak kiralah jika hasil laporan-laporan itu tidak akan memberikan kami sebarang tambahan mata,” katanya.
KL City mudah menewaskan Sri Pahang di Stadium Darul Makmur pada Ahad. — Facebook/KLCity
Berkedudukan di tangga keenam dengan 22 mata hasil menang enam, empat seri dan tiga kekalahan setakat ini, Bojan menyifatkannya sebagai permulaan terbaik mereka sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Orang cepat lupa yang kami memulakan musim ini dengan tiada sebarang kemenangan dalam lima perlawanan pertama. Ketika itu, kami dibebani masalah kecederaan pemain dan tiada padang latihan yang tetap hingga menyulitkan keadaan.
“Namun, hari ini pejuang papan kekunci yang ada antara mereka pernah cadangkan saya dipecat, sudah senyap disebabkan kedudukan terkini kami. Ini bukan saja permulaan terbaik kami, malah kali pertama kami kekal bersaing dalam Liga Super tiga tahun berturut-turut,” tambahnya.
Ditanya sesalannya terhadap kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan FC dan sekadar seri 1-1 dengan Kuching City FC, yang jika tidak kerana keciciran lima mata itu, harus melonjakkan mereka ke tangga keempat, Bojan memilih untuk tidak menoleh ke belakang lagi.
“Kami tidak bermain dengan baik ketika kalah kepada NS. Dengan Kuching City, kami dikecewakan oleh sepakan percuma pada waktu kecederaan. Tapi saya tak mahu komen kerana ia berkait dengan keputusan pengadil sekali lagi,” ujarnya.
Aksi pemain Warga Kota ketika perlawanan menentang The Cats. — Facebook/KLCity
Menyimpulkan pasukannya berjaya setelah melepasi sasaran 21 mata yang ditetapkan kelab bagi saingan pusingan pertama liga, Bojan menyasarkan kesudahan lebih baik daripada tangga keenam – dicapai pada musim 2021 dan 2022 – bagi keseluruhan musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KLC FC, Stanley Bernard, menetapkan jumlah 49 mata untuk dikejar pasukan dalam pusingan kedua yang bermula malam ini.
“Kami harap untuk bermula dengan kemenangan ke atas Penang FC di tempat lawan sebagai barisan Kuala Lumpur yang pertama dapat melakukannya selepas sekian lama,” katanya lagi.
Jika itu terlaksana, percutian singkat Bojan dan keluarga akan lebih bermakna di samping durian Balik Pulau dan nasi kandar akan lebih enak terasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram