NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
DARIPADA 'giantkiller' hinggalah kepada 'Coach power', PDRM FC semakin mengundang pelbagai julukan akhir-akhir ini. Manakan tidak ketika mereka semakin lama semakin dicemburui, baik kawan mahupun lawan.
Namun, ketua jurulatihnya, Azzmi Aziz, kekal merendah diri dan enggan terbuai-buai dengan pujian yang boleh membuat dia dan pasukannya tergelincir dari landasan sambil menjelaskan perjalanan mereka masih terlalu panjang.
Di sebalik skuad Sang Saka Biru itu baru meraih kemenangan ketiga berturut-turut dengan kejayaan mengejutkan Sabah FC 1-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Khamis, masih banyak kekurangan dalam pasukan yang diharap dapat diatasinya.
“Panggilan 'giantkiller' kepada PDRM FC dan saya pula diberi julukan 'Coach power', semua itu tidak sesuai buat kami ketika ini. Pada saya, biarlah kami diingati sebagai pasukan yang gemar melakukan 'roadblock' sehingga (lebih konsisten) suatu masa kelak,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
Nabil Ahmad Latpi menjadi wira ketika menewaskan Sabah FC pada Khamis. — Facebook/PDRM FC
Seusai perlawanan malam tadi, telefon bimbit Azzmi tidak berhenti-henti berbunyi dengan pesanan ringkas yang masuk untuk mengucapkan tahniah di samping beberapa panggilan rakan jurulatih yang mahu menyatakan kekaguman.
Barisan ‘pundit’ ketika siaran langsung perlawanan berkenaan turut mengiktiraf kemajuan yang dibawanya, dengan kejayaan pasukan itu menundukkan tiga pasukan daripada kelompok lima teratas rata-rata dianggap sebagai luar biasa.
PDRM FC terdahulu menundukkan Selangor FC 1-0 pada 3 Jun sebagai mengulangi kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan serupa dalam perlawanan ketiga mereka pada 4 Mac lalu.
Tiga lagi kemenangan The Cops diraih ke atas Kelantan United FC 2-0, Kuching City FC 1-0 dan Kelantan FC 4-1 untuk ia menuntut haknya kepada tangga kelapan dalam carta dengan himpunan 19 mata di samping boleh berbesar hati dengan enam perlawanan tanpa bolos.
Suasana di bilik persalinan lewat malam tadi pula digambarkan sebagai riuh-rendah, dengan pemain-pemain meraikan Nabil Ahmad Latpi sebagai wira penjaring gol tunggal pada minit ke-26 perlawanan dengan Sabah itu.
“Kami sebenarnya jarang bermain dengan dua penyerang apabila kerap memilih formasi 5-4-1. Jadi, bila kami bermain 5-3-2, ini memberi peluang Nabil beraksi. Ini harus sudah rezekinya untuk menjaringkan gol,” cerita Azzmi mengenai penyerang berusia 30 tahun itu yang pernah beraksi untuk Terengganu (2019) dan Kuala Lumpur musim berikutnya.
Azzmi bersama barisan kejurulatihannya ketika menentang Selangor FC. — Facebook/PDRM FC
Dalam pada itu, jurulatih berusia 48 tahun itu mengakui jaringan seawal itu tetap menimbulkan cemas buat mereka kerana waktu yang masih terlalu panjang untuk ia dipertahankan selama kira-kira 64 minit, tidak termasuk masa pemberhentian.
“Motivasi buat kami ialah apabila kami mengingat semula kalah 4-0 kepada Sabah dalam perlawanan pertama musim (di Kota Kinabalu). Ketika itu, kami sebenarnya bermain cukup baik untuk menyaingi mereka tapi kesudahannya terhukum dengan empat gol.
“Kali ini, lebih kami bersedia dengan hantaran-hantaran lintang mereka. Bila mereka mengubah permainan daripada 3-4-3 pun, kami tak terkesan kerana formasi kami membabitkan dua lapis ketika bertahan.
“Kami juga tak boleh bertahan terlalu jauh ke bawah kerana ia berbahaya. Ia macam mengundang lawan untuk terus mengasak kami. Jadi, kami menekan sedikit tinggi. Mungkin ini yang menyukarkan Sabah FC ketika berdepan kami,” jelasnya.
Seperti lazimnya, Azzmi tidak berhenti-henti berterima kasih kepada pemain-pemainnya di atas kesungguhan dan semangat berhabis-habisan mereka di samping tidak mudah goyah dengan reputasi lawan yang menduduki tangga ketiga liga musim lalu.
Barisan pemain import, tambahnya, turut memberi pengaruh positif kepada rakan sepasukan agar jangan sekali-kali mengalah di sebalik berdepan cabaran cukup kuat.
Pemain-pemain, katanya, kini semakin menyedari yang mereka mampu bersaing di atas rasa percaya kepada kemampuan diri sendiri di samping menuruti semua arahan mengikut perancangan barisan jurulatih.
“Sikap dalam pasukan sangat bagus, tambahan dengan pemain import kami menyokong perjuangan pasukan. Saya sentiasa cuba untuk jadi positif dan pemain-pemain juga ikut positif,” katanya.
Bruno Suzuki menjadi wira PDRM FC menewaskan Selangor FC. — Facebook/PDRM FC
Cuma, bezanya penjaring gol tunggal mengalahkan Selangor FC, Bruno Suzuki, tidak tampil dalam kesebelasan permulaan bagi memberi laluan kepada Uche Agba dalam sistem penggiliran yang diamalkan. Suzuki hanya dimasukkan selepas sejam permainan.
Agba membalas kepercayaan itu dengan meloloskan hantaran buat Nabil dalam perjalanannya untuk berdepan satu sama satu dengan penjaga gol, Damien Lim, sebelum menolak masuk bola ke pintu gol yang ternganga.
Kepada komen pengulas Astro Arena, Datuk Zainal Abidin Hassan, yang menggelarnya jurulatih hebat, Azzmi sangat berdiplomasi: “Itu pendapat Chief (Zainal). Jauh lagi perjalanan, banyak lagi saya kena harung, nak kena belajar. Tak rasa benda tu patut.
“Saya dah cukup gembira bila pemain-pemain menyokong perancangan saya. Pada saya, bila orang iktiraf kerja kita, itu dah cukup bagus.”
Satu lagi penanda aras buatnya ialah apabila Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 15 mata buat PDRM FC dalam pusingan pertama liga, sudah dapat diatasinya.
“Pesan saya kepada pemain-pemain, 'Jangan lupa diri. Jangan sampai terlupa apa yang kita patut kekalkan’ dalam musim yang masih panjang ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram