‘Polis Evo 2023’ bukan hanya berkisar kepada James Okwuosa, Bruno Suzuki


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Suzuki (kiri) dan Okwuosa (kanan) antara pemain PDRM yang digeruni pihak lawan. — Facebook/PDRMFC

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

PERBUALAN mengenai skuad Sang Saka Biru sering berkisar kepada James Okwuosa di tengah-tengah benteng pertahanan dan Bruno Suzuki memimpin jentera serangan.

Filem sukaramai Polis Evo 3 -- menampilkan Zizan Razak dan Shaheizy Sam memegang teraju utamanya, yang menjadi tontonan warga marhaen hingga ke taraf menteri -- mungkin memiliki resipi kejayaannya sendiri dengan kutipan RM41 juta selepas 12 hari tayangan.

Tidak pun berbeza, ‘Polis Evo 2023’ yang mengetengahkan Okwuosa dan Suzuki selaku tonggak PDRM FC dalam Liga Super musim ini, kedua-duanya harus tidak lengkap tanpa deretan individu yang berperanan pembantu.

Kepada ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, di sebalik peranan besar yang dimainkan kedua-dua bintang import itu, kejayaan skuad The Cops sejauh ini turut terhutang kepada keseluruhan pasukan dengan tenaga pemain tempatan turut tidak boleh dinafikan.

Gandingan tenaga import dan tempatan, katanya, memberi sumbangan yang sama pentingnya terhadap lima kemenangan dan satu seri buat pasukan berpangkalan di Kuala Lumpur itu untuk perolehan 16 mata di tangga kesembilan carta liga ketika ini, mengatasi Penang FC dan Perak FC antaranya.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 20.53.24

Kedudukan terkini Liga Super selepas 13 perlawanan. — Facebook/PDRMFC

“Pemain-pemain tempatan (11 anggota polis dan 12 orang awam) dalam pasukan umpama ‘wira tak didendang’. Mereka mungkin mendapat lebam-lebam yang sama banyak, kalau pun tidak lebih lagi daripada pemain import.

“Jauh daripada mencari kegemilangan peribadi, mereka ini sanggup mengambil risiko patah kaki atau cedera berat demi memenangkan pasukan,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.

Pertahanan sasa berusia 32 tahun dari Nigeria, Okwuosa, yang didatangkan atas perpindahan percuma dari kelab Al Qadsia, Kuwait, adalah sebahagian penting daripada evolusi PDRM FC musim ini setelah dinaikkan dari tangga keenam Liga Perdana musim lalu.

Kehadirannya jelas menstabilkan pasukan, yang dibayangkan oleh aksi sepenuh masanya dalam 12 perlawanan dan hanya terlepas satu perlawanan dengan Negeri Sembilan FC gara-gara kad merahnya pada hujung pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC sebelum itu.

Sebagai perbandingan, Suzuki, 33, pula belum terlepas walaupun satu perlawanan di samping menjadi penyumbang tiga jaringan, masing-masing satu gol ketika mengalahkan Kuching City 1-0 (1 April), Kelantan FC 4-1 (23 Mei) dan Selangor FC 1-0 (3 Jun).

WhatsApp Image 2023-06-06 at 20.53.23

Okwuosa dibawa masuk ke skuad The Cops dengan perpindahan percuma dari kelab Al Qadsia, Kuwait. — Twitter/Okwuosa

Mengulangi pasukannya memiliki bajet terhad, Azzmi mengakui bertuah memiliki kedua-duanya – Okwuosa yang disifatkannya seorang profesional sejati melalui kadar kerjanya dan pengaruh positif terhadap rakan sepasukan serta Suzuki, seorang yang tidak taksub mengejar gaji besar melainkan dapat memberi sumbangan bermakna kepada pasukan.

“Hasil kerjasama kedua-duanya dengan pemain tempatanlah, PDRM FC dapat melepasi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) 15 mata yang ditetapkan pengurusan pasukan bagi pusingan pertama liga musim ini.

“Saya sangat bersyukur pusingan pertama ini sangat positif hingga kami dapat mengatasi jangkaan. Pemain-pemain nampaknya telah memberi tindak balas positif, bukan setakat dapat menundukkan Selangor FC, malah kami satu-satunya pasukan yang hanya tewas 0-1 kepada JDT.

“Saya tidak pun minta dipuji. Tapi, sebagai ketua jurulatih, harap-harap sumbangan saya tidak juga dinafikan.

“Saya tidak kejar kenaikan gaji kerana faham dengan kedudukan kewangan kelab. Saya akan terus mencuba dengan cara saya sendiri untuk memenuhi sasaran asalkan ia realistik dengan kemampuan pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Azzmi mengharapkan akan ada penambahbaikan dilakukan apabila jendela perpindahan kedua dibuka bulan depan.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 20.53.24-2

Di bawah kendalian Azzmi, PDRM musim ini sudah memenangi lima perlawanan dalam aksi Liga Super. — Facebook/PDRMFC

Penambahbaikan yang dimaksudkannya tidak hanya terbatas kepada tenaga import, sebaliknya harus mempertimbangkan sama pemain tempatan berpengalaman yang boleh membawa nilai tambah buat pasukan.

“Berdasarkan keperluan ketika ini, saya mahukan seorang pemain yang dapat menjadi pelapis di barisan pertahanan (bek kanan).

“Juga kritikal ialah seorang penyerang lagi yang boleh memenangi dan menyimpan bola sebagai sokongan kepada Bruno,” katanya merujuk kepada Uche Agba dan Nabil Latpi yang bergilir-gilir memikul tugas itu.

Di samping mereka, Jacque Faye, pemain tengah kelahiran Senegal yang dibawa masuk daripada skuad Piala MFL, bermula dengan perlawanan menentang Sabah FC pada 25 Februari lalu, berperanan sebagai pengacau buat pasukan lawan.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 20.53.26

Faye sebelum ini hanya beraksi di skuad simpanan PDRM FC bagi saingan Piala MFL. — Facebook/ HarimauMalaya

“Tapi pasukan yang kita ada ini tidak memiliki cukup kedalaman untuk penggiliran pemain dilakukan dengan kerap.

“Dengan pusingan kedua liga yang akan lebih mencabar, harap-harap pihak pengurusan dapat pertimbang penambahbaikan yang telah diusulkan.

“Apa yang yang dirancangkan sudah mula menjadi. Pada saya, rugilah kalau pasukan tidak terus diperkuatkan dengan penambahbaikan,” katanya lagi.

PDRM FC seterusnya akan menjadi tuan rumah kepada kunjungan Sabah FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Khamis sebagai pembuka tirai pusingan kedua liga. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram