‘Ibarat perlawanan sarkas’, fans Sang Garuda mahu duit semula selepas Messi tak jadi datang Indonesia


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Lionel Messi ketika mencium trofi Piala Dunia 2022. — Agensi

BERITA mengenai bintang dunia, Lionel Messi tidak akan terbang bersama pasukan Argentina ke Indonesia untuk aksi persahabatan dengan skuad bimbingan Shin Tae-yong mengecewakan ribuan penyokong di negara itu.

Messi bersama Argentina di China untuk melakukan persiapan menghadapi Australia pada 15 Jun, salah satu daripada dua acara persahabatan Asia yang dijadualkan pada Jun ini.

Mengikut perancangan asal, selepas perlawanan menentang Australia, Messi dan rakan sepasukannya akan bergerak ke Jakarta untuk melakukan persiapan menghadapi perlawanan menentang tuan rumah Indonesia pada 19 Jun ini.

Bagaimanapun, pada 11 Jun lalu, akhbar Argentina mendedahkan Messi hanya akan bermain bersama skuad La Albiceleste menentang Australia.

Selepas itu, dia akan kembali ke Eropah untuk membuat persediaan bersama keluarga untuk kehidupan baharu apabila berpindah ke Inter Miami di Amerika Syarikat (AS).

Argentina

Skuad kebangsaan Argentina yang bakal berdepan Indonesia pada 19 Jun nanti. — Agensi

Berita tersebut ternyata membuatkan seluruh penyokong Indonesia 'terkejut' terutamanya kepada mereka yang sudah membeli tiket perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia.

"Tiada Messi bersama pasukan Argentina? Ia sesuatu pekara yang tidak bagus! Ramai orang beli tiket kerana nak melihat Messi.

"Perlawanan ini sekarang menjadi jenaka untuk orang ramai yang sudah pun membeli tiket untuk melihat Messi," kata salah seorang penyokong di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI).

"Argentina bermain tanpa Messi adalah seperti masak makanan tanpa garam, ia hambar. Tolong kembalikan duit saya,” kata seorang lagi penyokong. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram