[VIDEO] Berderau jantung, misteri pokok pisang tiba-tiba 'buat hal' dalam gelap gelita


  • Tular
  • Ahad, 11 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan pokok pisang tiba-tiba tumbang ke atas jalan raya yang hampir mengundang kecelakaan buat pemandu pada awal pagi Ahad.

SEORANG pemandu berdepan detik cemas apabila sebatang pokok pisang tiba-tiba tumbang ke atas jalan raya yang nyaris mengundang kecelakaan kepada pemandu pada awal pagi Ahad.

Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan sebuah kenderaan sedang memandu di sebuah jalan utama yang tidak diketahui lokasinya pada pukul 6.45 pagi.

Video berdurasi seminit 10 saat itu turut menunjukkan sebuah pokok pisang tiba-tiba tumbang ke atas jalan dan kenderaan tersebut tidak sempat mengelak pokok berkenaan.

Bagaimanapun, pemandu tersebut meneruskan perjalanan seperti biasa, walaupun tidak dapat dipastikan kemungkinan kerosakan yang berlaku terhadap kenderaan berkenaan.

Menjengah ke ruang komen, warganet turut terkejut dengan kejadian tersebut yang berlaku pada awal pagi.

Bagaimanapun ada yang mendakwa ia mungkin modus operandi penyamun untuk menahan pemandu tersebut sebelum melakukan jenayah.

"Kalau berhenti, mungkin kena samun. Boleh tak pikir camtu," kata Norah Liys.

Seorang pengguna Facebook, Shahx turut menceritakan pernah menghadapi situasi sama berdepan pokok yang tiba-tiba tumbang ke atas jalan raya.

"Aku dulu pernah kena macam ini. Masa tu naik motor. Sampai terbabas aku masuk parit. Rupa-rupanya ada orang tebang pokok pisang.

"Aku pula kena marah. Dia kata tak nampak ke orang tebang pokok pisang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram