PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan seramai 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu, Terengganu bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pada Jun nanti.
Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck.
Dalam pada itu, penyerang kebangsaan negara, Faisal Halim turut tersenarai dalam menghadapi perlawanan persahabatan tersebut.
Lebih manis lagi, pusat latihan Harimau Malaya yang diadakan di Pantai Timur itu bakal menyaksikan Faisal Halim atau lebih gemar dikenali sebagai Mickey kembali ke kandang pasukan lamanya.
Tangkap layar hantaran Instagram, Faisal Halim. — Instagram/ faisalhalim.7
Menerusi satu hantaran di laman Instagram milik penyerang negara, Faisal Halim memaparkan mesej menyentuh hati buat bekas majikannya iaitu pasukan Terengganu FC (TFC).
Pemain berusia 25 tahun itu membuat hantaran berkenaan dengan menulis kapsyen, "Long time no see (lama tak berjumpa)".
Dalam hantaran tersebut seolah-olah memberikan bayangan bahawa pemain bertubuh kecil itu merindui pasukan lamanya.
Namun begitu, kehadirannya semula ke negeri kelahirannya itu hanyalah untuk persediaan menghadapi perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu.
Sebelum ini, Faisal Halim merupakan salah satu pemain yang berjaya membawa skuad Sang Penyu dalam menghadapi kejuaraan Piala AFC.
Untuk rekod, Mickey mencatatkan enam gol dan sembilan hantaran bantuan (assist) ketika beraksi selama dua musim bersama pasukan Sang Penyu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram