Bukan wang ringgit, Benzema dedah 2 sebab berhijrah ke Liga Pro Saudi


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Antara momen yang pastinya tidak dapat dilupakan oleh penyokong Al Ittihad. — Instagram/ karimbenzema

BEKAS penyerang berbisa, Real Madrid FC, Karim Benzema mendedahkan penghijrahannya ke Arab Saudi dipengaruhi oleh faktor agama yang mana merupakan satu peluang untuk dia tinggal di negara Islam.

Selepas 14 tahun menyarung jersi Real Madrid, pemilik Ballon d'Or itu berhajat mencari angin baru iaitu mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo ke Timur Tengah dengan menyertai kelab Al Ittihad.

WhatsApp Image 2023-06-09 at 15.43.04

Karim Benzema rasmi menyertai kelab Al Ittihad. — Instagram/ karimbenzema

Pemain berusia 35 tahun itu menerima sambutan meriah ketika diperkenalkan di hadapan 60,000 penyokong Al Ittihad yang hadir sambil memakai nombor sembilan ketika dia berjalan keluar ke padang pada Jumaat.

Benzema yang akan menikmati kontrak tiga tahun bernilai £258 juta atau RM1.49 bilion mendedahkan bahawa perpindahannya ke Arab Saudi didorong oleh agama dan bukannya wang yang ditawarkan.

"Kerana saya adalah Islam dan ini adalah sebuah negara Islam. Saya sentiasa mahu tinggal di sini.

"Saya pernah ke Arab Saudi dan saya berasa gembira mengenainya.

"Bagi saya ia adalah tempat yang saya mahukan. Saya menaruh harapan ke atas kelab yang baru disertai ini menerusi kudrat yang ada dan yang paling penting untuk memenangi kejuaraan.

"Ini adalah satu pengalaman baru untuk saya dan saya ingin memacu kelab ini. Kelab ini mempunyai semangat yang tinggi," katanya.

Selain itu, penyerang berpengalaman itu turut mendedahkan sebab lain memilih pasukan tersebut.

"Saya memilih kelab ini kerana ia merupakan salah satu kelab terbaik di Arab Saudi yang penuh dengan semangat dan sokongan daripada penyokong," kongsinya.

Tambahan pula, Benzema bakal bersaing dengan rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo yang ketika ini bermain bersama Al Nassr. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram