PRESTASI pasukan Kelantan FC dilihat semakin merosot kerana mengalami kekalahan yang berlarutan sepanjang Liga Super 2023 berlangsung.
Bukan sahaja ditewaskan oleh pasukan lain, malah, Kelantan FC turut dimalukan dengan keputusan 1-4 oleh seteru terdekat, Kelantan United FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mohammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Namun begitu, kecoh di laman sosial mengenai bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyarungkan jersi rival setempat, sekali gus menimbulkan polemik dalam kalangan penyokong setia bola sepak TRW.
Tangkap layar hantaran di Facebook milik peribadi Tan Sri Annuar Musa. — Facebook/ TanSriAnnuarMusa
Hantaran itu sepertinya menjadi duri buat penyokong skuad The Red Warriors (TRW) apabila figura tersebut cukup disegani mereka satu ketika dahulu.
Annuar sebelum ini pernah meluahkan kekecewaannya mengenai nasib semasa Kelantan FC berikutan prestasi tidak menentu dan masalah luar padang.
Ramai penyokong berkongsi mengenai perkara tersebut seolah-olah bekas penaung KAFA itu berpaling tadah menyokong Kelantan United pula.
Cuma pada masa sama, ada juga penyokong Kelantan United berharap agar Annuar kali ini membawa Sang Kijang Hijau untuk mengulang kembali sejarah kegemilangan kelab Kelantan FC seperti ketika memegang jawatan Presiden TRW bermula 2009 sehingga 2016 sememangnya cukup disegani selepas meraih beberapa kejayaan sepanjang tempoh berkenaan.
Gelaran 'treble' yang diraih pada 2012 merupakan antara titik paling gemilang buat Annuar dan Kelantan FA yang pastinya sukar untuk dilupakan peminat bola sepak tempatan.
Selain itu, kestabilan sepanjang berada di bawah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga cukup mengujakan yang menjadi tulang belakang buat kejayaan skuad TRW.
Oleh itu, dengan kehadiran beliau dalam kelab KUFC pastinya memberikan impak positif kepada pasukan itu untuk melakar kegemilangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram