Mat Don punca Yati terjebak cinta dengan Kedah hingga pernah pengsan di Darul Aman


  • Podium
  • Ahad, 11 Jun 2023

Nang Haryati mula meminati skuad Hijau Kuning ketika bekas pemain import, Liridon menjadi sebahagian daripada tonggak Sang Kenari. — Ihsan Yati

APABILA bercakap mengenai bola sepak, jumlah penyokong lelaki jauh lebih ramai berbanding wanita namun hakikatnya sukan nombor satu dunia itu tidaklah berfokus kepada jantina tertentu sahaja dan hari ini ramai golongan Hawa mulai turun padang demi menyokong kelab kesayangan masing-masing.

Seperti pemain ke-12 Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nang Haryati Nik Omar, salah seorang penyokong wanita yang sering hadir ke setiap perlawanan Sang Kenari sama ada di Darul Aman ataupun beraksi di laman lawan.

WhatsApp Image 2023-06-10 at 18.24.42

Yati bersama rakan-rakannya yang sering hadir ke setiap perlawanan Sang Kenari. — Ihsan Yati

Faktor Nang Haryati ataupun lebih mesra dengan sapaan Yati mula terjebak meminati skuad Hijau Kuning adalah sewaktu bekas pemain import, Liridon Krasniqi menjadi sebahagian daripada tonggak Sang Kenari.

Corak permainan gred A yang ditampilkan Liridon ataupun Mat Don ketika empat musim bersama Kedah membuatkan wanita berusia 42 tahun itu semakin bersemangat menyokong pasukan berpangkalan di Utara tanah air tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-10 at 18.45.23

Nang Haryati bersama pemain kegemarannya, Mat Don. — Ihsan Yati

Ketika pemain dari Kosovo itu memutuskan untuk berhijrah ke Melaka United pada musim 2019, penyokong dari Jerlun tersebut sukar untuk menelan berita perpindahan Mat Don namun kasih sayang terhadap Kedah tidak pernah pudar.

"Saya mula sokong Kedah sejak Liridon main Kedah sebab cara permainannya menarik hati saya tengok bola. Masa tu saya rasa dia memang pemain terbaik. Ketika dia pindah itu tak berapa setuju sangat. Tapi nak buat macam mana, itu pilihan dia. Sedih jugalah.

"Kalau tengok dia pindah pun banyak merugikan dia dari segi karier. Sekarang lebih suka Manuel Hidalgo dan Manuel Ott. Cara permainan mereka sangat best. Pemain tempatan saya minat Fayadh Zulkifli," kongsinya.

piala fa kalah

Penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi dinobat pemain terbaik perlawanan ketika aksi Kedah tewas di tangan Harimau Kumbang — Facebook/KDAFC

Mengimbau kembali antara pengalaman yang paling tidak boleh dilupakannya ialah pengsan semasa perlawanan pusingan pertama Piala FA 2023 apabila skuad KDA FC tewas 3-4 kepada Penang melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Meskipun kejadian tidak diduga menimpa ibu kepada dua orang itu namun suami Nang Haryati, Mohd Jazry Shazril tidak pernah melarang isterinya untuk meneruskan perjuangan menyokong pasukan kesayangan.

Nang Haryati berkongsi bahawa walaupun pasangannya itu kurang meminati bola sepak namun dia tidak pernah menghalangnya untuk ke stadium menunjukkan sokongan, malah suaminya yang akan mengambil giliran untuk menjaga anak-anak.

WhatsApp Image 2023-06-10 at 18.35.09

Suami Nang Haryati menemaninya melihat trofi Piala FA 2019 yang mana kemenangan itu adalah kenangan paling berharga sepanjang menyokong Kedah. — Ihsan Yati

"Pengalaman paling 'gila' yang pernah saya alami apabila pengsan di stadium. Terlalu orang ramai, jadi udara kurang. Tapi tak masuk hospital pun. Saya bangun semula dengan bantuan suami serta kawan-kawan tolong kipas. Selepas kejadian itu, suami masih beri izin, dia cakap kalau dilarang pun masih bertegas.

"Selalu tinggalkan anak di rumah. Mak atau suami jaga. Suami kurang minat bola sepak. Suami tak kisah kalau selalu ke stadium, yang penting pandai jaga diri. Kenangan tak best juga apabila berebut nak beli tiket sebab 2019 ketika Kedah tengah naik," ujarnya.

Baginya tiada istilah menyesal dalam dirinya sepanjang bergelar penyokong Kedah dan dia turut berharap agar pasukan kendalian Nafuzi Zain itu mampu menjadi lima terbaik dalam saingan Liga Super.

Kedah kini menghuni kedudukan ketiga liga dengan merekodkan sembilan kemenangan, satu seri dan empat kekalahan pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram