SRI Pahang FC mencatatkan satu lagi momen yang sukar dilupakan musim ini apabila menewaskan Negeri Sembilan FC setelah ketinggalan pada awal permainan.
Dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Jumaat, skuad Jang terlebih dahulu mendahului dengan dua gol menerusi jaringan Herold Goulon dan Shahrel Fikri.
Tidak lama selepas itu, jurang antara kedua-dua pasukan dikecilkan menerusi sepakan penalti Stefano Brundo sebelum ledakan Casagrande memastikan kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan FC.
Keluhan, kekecewaan dan kemarahan jelas membanjiri laman media sosial Sri Pahang FC yang sukar untuk menerima kerapuhan benteng pertahanan skuad Tok Gajah.
Namun, pasukan yang pernah bergelar 'King of Comeback' dalam arena bola sepak tempatan itu melakukan kejutan apabila mencuri tiga mata penuh pada minit-minit akhir permainan.
Jaringan daripada pemain simpanan, David Rowley pada minit ke-80 mencetuskan kebangkitan pasukan Pantai Timur itu sebelum sepakan percuma Brundo mengikat kedua-dua pasukan.
Kpah Sherman (depan) dan Brundo menjadi watak utama di sebalik kebangkitan skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Tetapi, gol menerusi tandukan Kpah Sherman berjaya melakar senyuman di wajah penyokong Tok Gajah memandangkan jaringan berkenaan terhasil pada minit keempat masa tambahan.
Kegembiraan jelas dirasakan hampir kesemua peminat setia Sri Pahang FC memandangkan mereka kini kembali ke landasan kemenangan selepas tewas dua kali berturut-turut dalam Liga Super.
Bagaimanapun, perasaan berbeza pula menyelubungi penyokong skuad Jang apabila pasukan itu kempunan untuk meraih tiga mata dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Kesalahan pastinya dituding terhadap pelbagai pihak, terutamanya pihak kejurulatihan yang tidak dapat menggunakan kelebihan dari segi jaringan untuk mencatatkan kemenangan.
Namun, tinjauan di media sosial mendapati majoriti besar penyokong Negeri Sembilan FC berpendapat kekalahan di laman lawan itu berpunca daripada kelekaan bek tengah, Zainal Abidin Jamil.
Kegagalannya untuk mengekori gerakan pihak lawan dikatakan mudah buat skuad Tok Gajah untuk mendapatkan gol, sekali gus meraih kemenangan bermakna.
Kebolehan Zainal Abidin terus menimbulkan tanda tanya. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Antara kesilapan yang jelas dibuat pemain kelahiran Pahang itu adalah ketika gol Kpah Sherman yang mana dia gagal untuk memintas hantaran daripada sepakan percuma dengan efisien.
Jadi, tidak hairanlah apabila nama bekas pertahanan Petaling Jaya City FC itu terus diperkatakan dengan ada yang mahu dia digugurkan untuk aksi seterusnya.
"Dia bukannya mahu merebut bola, tetapi terlalu memberi perhatian terhadap posisi pihak lawan. Patutnya, bola tu dia yang perlu beri keluarkan dari kawasan berbahaya," kata Azizul Hakim.
"Gol yang keempat tu saya tengok dia tidak cuba lompat untuk mengeluarkan bola. Padahal, bola tu hanya lalu di atas kepalanya," kata Amat Popo.
"Tulah, main terlalu tenang. Boleh menang, tetapi tidak mahu buat yang sebaik-baiknya, akhirnya tidak dapat pulang dengan senyuman lebar," kata Abdul Mutalib Md Saleh.
Kekalahan itu meletakkan skuad Jang kekal di tangga kesembilan sementara Sri Pahang FC mengukuhkan kedudukan di tempat keempat selepas 14 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram