Ramai tak tahu, tapi perubahan posisi 2 awang import bantu Willian Lira menyinar


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Lira kini sudah menjaringkan lapan gol dalam 14 penampilan Liga Super setakat ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

MASALAH konsistensi yang dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam Liga Super pada awal musim lalu sudah berjaya diselesaikan sedikit demi sedikit.

Empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir membantu mereka mendaki ke tangga ketiga dengan hanya tiga mata membezakan pasukan itu dengan Selangor FC di kedudukan kedua.

Pada Rabu, skuad Sang Kenari sekali lagi mencatatkan satu keputusan memberangsangkan apabila menang mudah ke atas Perak FC di laman sendiri dengan keputusan 3-0.

Dua gol daripada Amirbek Juraboev serta jaringan Willian Lira memastikan kemenangan berpihak kepada kelab Utara tanah air terbabit.

Kejayaan di hadapan ribuan penyokong di Stadium Darul Aman, Kedah itu pastinya cukup manis memandangkan mereka kini tampil sebagai salah sebuah pasukan terbaik Liga Super.

352562298_2811207845682092_279347024777364120_n

Dua gol disumbangkan Amirbek (kiri) dalam aksi menentang skuad The Bos Gaurus. Facebook/KDA FC

Lebih membanggakan lagi, kemenangan tersebut diraih menerusi sumbangan penting daripada Lira yang pada awalnya sedikit bergelut dengan kelab berkenaan.

Setelah tiba pada jendela perpindahan yang lalu, penyerang kelahiran Brazil tersebut kerap dikritik kerana kurang memberi impak buat skuad Hijau Kuning.

Persembahan yang longlai serta tidak bersemangat itu turut mengundang persoalan daripada legenda Kedah FA, Azraai Khor Abdullah apabila dia dengan terbuka mempersoalkan kualitinya.

Namun, memasuki separuh kedua musim Liga Super 2023, pemain berkenaan sudah merekodkan lapan jaringan peribadi termasuk satu ketika aksi menentang Perak FC.

Kini, lain pula ceritanya apabila Lira terus menerima pujian melambung daripada rata-rata penyokong KDA FC atas prestasi semasanya.

Antara yang tampil mengangkat namanya ialah laman Facebook Pena Bola Kedah selepas penyerang berusia 29 itu sudah semakin tajam di hadapan pintu gol lawan.

"Selepas 14 perlawanan, masih ada peminat yang mempertikaikan gaya permainan striker dari Brazil ini.

"14 perlawanan, 8 gol. Pemain ini dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan permainan Nafuzi-ball, tetapi ada peningkatan semenjak tiga perlawanan lepas," tulisnya.

352204178_575951978055681_8809426781166803616_n

Balotelli semakin serasi dengan gaya permainan skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Tetapi, menurut peminat setia KDA FC itu, perubahan dari segi permainannya itu berpunca daripada perubahan taktikal yang menyaksikan posisi Amirbek diubah.

Ini kerana Lira sudah tidak lagi terlalu terbeban dengan peranan mendapatkan gol buat pasukan memandangkan dia sudah tidak lagi keseorangan di barisan serangan.

Malah, beberapa perubahan yang menyaksikan seorang lagi penyerang kelahiran Brazil, Jonathan Balotelli diturunkan juga membuahkan hasil sama.

"Selepas Amirbek bergerak lebih atas, pilihan penjaring bertambah dan Lira tidak lagi dibebankan dengan tugasan penjaring tunggal kerana dia bebas untuk bergerak lebih rendah dan membenarkan Amirbek meloloskan diri.

"Perkara yang sama berlaku apabila Lira digandingkan dengan Balotelli kerana Lira akan turun ke tengah padang untuk menerima bola sambil dia tahu Balotelli ada untuk menjaringkan gol," katanya.

Ketika ini, skuad Sang Kenari sudah menjaringkan 29 gol dengan carta penjaring terbanyak diungguli Lira sementara Balotelli sudah meraih empat gol dalam 14 penampilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram