Bukan Anthony Nwakaeme, tapi rakan negara Kpah Sherman disebut-sebut bakal sertai Sri Pahang FC


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Jebor ketika beraksi bersama SD Ponferradina di Liga Sepanyol. — Agensi

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dijangka dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding untuk menambah baik skuad masing-masing.

Pastinya pertukaran pemain import akan berlaku jika mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.

Selain pertukaran import ada pasukan dalam Liga M masih belum mempunyai kuota import yang mencukupi sekali gus bakal digunakan untuk memperkuatkan pasukan.

Khabar angin bertiup kencang apabila Sri Pahang FC dikatakan akan membawa masuk penyerang baharu bagi menggantikan Lucas Silva yang masih belum cergas sepenuhnya.

Pemain tersebut ialah penyerang kebangsaan Liberia, William Jebor yang akan menjadi ejen bebas bermula 1 Julai nanti.

Jika Jebor menjadi pilihan pihak pengurusan Sri Pahang FC, Majoriti senaraikan tiga kelebihan yang bakal diperolehi skuad Tok Gajah itu:

Jebor pernah beraksi bersama Al-Nassr pada 2018. Agensi

1. Pengalaman

Sejak bergelar pemain profesional, Jebor sudah beraksi dalam tiga benua yang berbeza iaitu di Eropah, Afrika dan Asia.

Jebor pernah beraksi di pentas tertinggi Liga Portugal bersama Rio Ave FC pada 2014 sehingga 2017 sebelum memilih ke Arab Saudi.

Di Arab Saudi, Jebor mewakili Al-Nassr FC iaitu pasukan yang disertai bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo pada musim ini.

Pengalaman yang dimiliki Jebor memang tidak boleh dinafikan lagi apabila dia beraksi dalam 10 buah negara termasuk Sepanyol, Maghribi, Malta dan banyak lagi.

Jebor pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bersama Wydad Casablanca pada 2016/17. Agensi

2. Posisi

Umum mengetahui Sri Pahang kini tumpul di barisan serangan apabila Lucas Silva masih belum cergas sepenuhnya sejak tempoh pramusim awal tahun ini.

Dengan pengalaman dan status sebagai penyerang skuad kebangsaan Liberia, Jebor mungkin gandingan sesuai untuk bermain bersama Kpah Sherman di bahagian depan Sri Pahang FC.

Pemain berusia 31 tahun ini pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Maghribi dengan 19 jaringan gol pada 2016/17 ketika mewakili Wydad Casablanca.

Bersama skuad kebangsaan, Jebor telah menjaringkan 13 gol daripada 20 penampilan bersama Liberia sejak 2011.

Jebor dan Kpah pernah beraksi bersama dalam skuad kebangsaan Liberia. Agensi

3. Pemain kebangsaan Liberia

Sukar bagi kelab di Liga Malaysia untuk mendapatkan penyerang berstatus pemain kebangsaan seperti Kpah Sherman.

Penyerang kelahiran Liberia ini mungkin mengenali corak permainan Kpah kerana mereka pernah beraksi bersama dalam skuad kebangsaan.

Jebor pernah beraksi dalam beberapa aksi penting buat Liberia seperti kelayakan Piala Afrika dan Piala Dunia yang mana menyaksikan dia menjaringkan 13 gol.

Penampilan terakhir Jebor bersama skuad antarabangsa Liberia pada 24 Mac lalu dalam kelayakan Piala Afrika yang mana dia juga dilantik sebagai kapten pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram