Bekas bintang HM ikut jejak Benzema, Ronaldo ke Arab Saudi, mahu meninggal dunia di Makkah


  • Podium
  • Ahad, 11 Jun 2023

Asraruddin (bawah, kiri) pernah diberikan peluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan beberapa kali.

SELAIN bintang terkemuka Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema yang berpindah ke kelab bola sepak berpangkalan di Arab Saudi, bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Asraruddin Putra Omar turut berhijrah ke negara itu.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu bukan menandatangani kontrak dengan mana-mana kelab di Arab Saudi apabila sebaliknya tinggal di Tanah Suci Makkah bagi mencari kebahagian dan mendalami ilmu agama.

Asraruddin Putra yang kini berusia 35 tahun berkata, ramai tidak mengetahui mengenai keberadaannya di sebuah perkampungan Melayu di Bukit Ajyad, Makkah.

"Saya sebenarnya ada pasang impian sejak kecil dulu, saya tengok orang datang Makkah buat umrah, kalau ada rezeki nak duduk sini sama ada di Makkah atau Madinah.

romansa-persahabatan-ronaldo-dan-benzema-di-liga-arab-saudi-njv

Ronaldo (kiri) dan Benzema kini beraksi di Arab Saudi. Agensi

"Tetapi hanya sekadar impian sahaja lah sebab saya tak kenal sesiapa di Makkah atau Madinah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Asraruddin setakat ini tidak pernah mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak selepas mengalami kecederaan di kaki kirinya ketika bersama JDT.

Selain pernah beraksi dengan kelab Selatan tanah air itu, pemain berkenaan juga pernah bersama-sama Selangor FA dari 2007 hingga 2013.

Tambahnya lagi, dia kemudian mengetahui mengenai perkampungan berkenaan menerusi kenalannya selepas melakukan umrah buat kali kedua di Tanah Suci pada 2022 sebelum terpaut untuk tinggal di situ.

Menurut Asraruddin, dia kembali ke Makkah pada awal tahun ini dan berada di sini selama tiga bulan dengan menyewa rumah di perkampungan Melayu berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari Masjidil Haram.

asra-jdt-800x533

Asraruddin (kanan) ketika beraksi bersama JDT.

"Jika ALLAH SWT mengizinkan, saya berharap untuk meninggal dunia di Makkah. Saya memang mendoakan perkara itu... Ya ALLAH, matikan aku dengan mati syahid, matikan aku di negeri Rasul-Mu," katanya.

Pemain yang pernah menjalani latihan percubaan bersama kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven itu turut bertemu jodoh dengan Tengku Nurliyana Tengku Azlan, seorang jururawat berasal dari Gong Badak, Terengganu yang bekerja di sebuah hospital di Jeddah, Arab Saudi.

Mereka berdua mendirikan rumah tangga pada 13 Mei lepas di Shah Alam Selangor, sebelum kedua-duanya kembali ke Makkah, tiga hari kemudian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram