KEM latihan skuad Harimau Malaya menerima khabar kurang menggembirakan apabila terpaksa melupakan khidmat penyerang muda, Haqimi Azim Rosli pada dua perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Menurut pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, masalah kesihatan yang tidak mengizinkan menjadi faktor pemain Kuala Lumpur (KL) City itu terpaksa digugurkan bagi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 dengan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, pihaknya memantau perkembangan pemain muda berusia 20 tahun berkenaan namun tiada tanda positif dia dapat hadir untuk menjalani kem latihan bersama rakan pasukan.
Walaupun Pan-gon menyatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk mendapatkan pengganti di posisi tersebut namun ia bukanlah alasan untuk pihak kejurulatihan untuk mempertimbangkan beberapa pemain yang berada dalam senarai simpanan.
Perkara tersebut pasti tidak merugikan pihak Harimau Malaya untuk membuat persediaan mencari pengganti Haqimi bagi berikutan kini hanya Shahrel Fikri yang dilihat akan mengisi posisi penyerang.
Oleh itu, berdasarkan antara 24 tonggak yang diletakkan dalam senarai bersedia, terdapat tiga pemain dilihat berpotensi untuk bersama-sama pemain skuad Jang itu untuk mengisi barisan serangan pada dua aksi persahabatan nanti.
Syafiq hanya mempunyai satu jaringan bersama JDT pada musim ini. — Instagram/Syafiq
Tiga pemain tersebut ialah penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli dan ubi muda Selangor FC, Aliff Izwan.
Walaupun ketiga-tiga pemain itu tidak mengumpul minit permainan yang banyak bersama kelab masing-masing di saingan liga namun perkara tersebut bukan ukuran untuk mereka berpeluang memberi persembahan terbaik bersama skuad kebangsaan.
Syafiq sebelum ini sememangnya dikenali sebagai pemain regular skuad kebangsaan dan baru-baru ini juga jaringan tunggalnya musim ini bersama JDT ketika menentang Penang FC mencuri perhatian.
Fayadh sudah tampil dalam 14 perlawanan Liga Super bersama Kedah pada musim ini. — Instagram/Fayadh
Sementara itu, Fayadh pula boleh menjadi calon sesuai untuk dipertimbangkan Pan-gon berikutan sebelum ini dia juga pernah mendapat panggilan skuad kebangsaan ketika aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Pan-gon juga boleh membuat eksperimen untuk mencuba pemain Harimau Muda yang menyerlah ketika Sukan SEA Kemboja 2023, Aliff bagi dua aksi persahabatan nanti seperti beliau memberi kepercayaan kepada Syahir Bashah.
Aliff salah seorang prospek muda Selangor FC. — Instagram/Aliff
Persembahan selama 20 minit ketika menentang Laos dalam Sukan SEA Kemboja cukup memberi keyakinan kepada jurulatih kebangsaan itu untuk memilih pemain muda, Syahir Bashah ke skuad Harimau Malaya dan ia merupakan penampilan pertamanya untuk pasukan senior.
Aksi perlawanan persahahatan pertama melibatkan pasukan Kepulauan Solomon pada 14 Jun dan pertarungan kedua dengan Papua New Guinea, 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram