KEKALAHAN sebanyak empat kali pastinya memberikan kesan kepada barisan pemain Sabah FC disebabkan kesilapan demi kesilapan yang sering dilakukan oleh benteng pertahanan mereka.
Sabah FC terpaksa akur dengan kekalahan kali keempat apabila membenarkan pasukan PDRM FC membolosi gawang dengan mudah dalam perlawanan pusingan kedua Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis.
Ini kerana, skuad The Cops membuat kejutan dengan meraih gol hasil jaringan dilakukan oleh penyerang tempatan Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-26.
Pemain Sang Badak cuba mengawal ketat The Cops di MBPJ. — Facebook/ MFL
Rentetan kekalahan itu, skuad Sang Badak nampaknya sukar untuk mengekalkan kemenangan seperti yang dihasilkan pada awal musim liga berlangsung.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) meluahkan rasa kecewa terhadap aksi dan prestasi yang ditampikan oleh anak-anak buahnya dalam pusingan kedua Liga Super.
"Prestasi yang dipersembahkan cukup mengecewakan dari segi apa yang telah kita fikirkan dan apa yang kita rasa PDRM bakal lakukan.
"Apabila kita cuba kembali dengan peluang yang ada tapi kita tidak dapat menyempurnakan dan kita terlewat, perkara itu merupakan kelemahan kita.
"Ia satu keputusan yang sukar kita terima namun kita harus memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini," kata ketua jurulatih Sabah FC.
Dalam perlawanan tersebut, benteng pertahanan tuan rumah dilihat tidak memberikan sedikit peluang kepada Sang Badak untuk menjaringkan sebarang gol.
Oleh itu, misi balas dendam The Cops dilihat berjaya apabila menewaskan Sabah FC dengan keputusan 1-0 di laman sendiri.
Untuk rekod, pasukan The Rhinos menewaskan PDRM FC 4-0 pada perlawanan pertama Liga Super berlangsung di Stadium Likas, Sabah.
Sabah FC kekal Top 5 dengan mengutip 24 mata manakala PDRM menduduki tangga kelapan dengan pungutan 19 mata dalam carta Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram