Manzoor Azwira akur satu mata, puji serangan The City Boys


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Aksi pemain KL City FC cuba dikawal ketat oleh barisan pemain Harimau Kumbang. — Facebook/ MFL

PASUKAN Penang FC gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila hanya terikat 1-1 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.

Selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Super, Harimau Kumbang nampaknya berjaya mendapatkan satu mata di laman sendiri.

Skuad The City Boys dilihat garang dalam permulaan perlawanan apabila mencetak gol seawal minit ketujuh menerusi jaringan pemain import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre yang mana berjaya mematahkan benteng pertahanan tuan rumah.

WhatsApp Image 2023-06-09 at 11.32.00

The City Boys raikan gol pendahuluan ketika menentang Harimau Kumbang. — Facebook/ MFL

Namun, skuad Harimau Kumbang tidak berdiam diri apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang import dari Brazil Giovane Gomes, yang gagal dikawal kemas oleh pertahanan KL City FC pada minit ke 45+1.

Penolong ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut namun terpaksa akur dengan satu mata tersebut.

"Kita rasa agak kecewa kerana tidak berjaya mendapat tiga mata di laman sendiri dan kita cuba menekan pasukan KL tapi peluang dan serangan kita masih belum mencukupi.

"Tetapi, saya tetap bersyukur walaupun mendapat satu mata dan berharap ini menjadi satu titik mula pusingan kedua untuk kita mengutip mata.

"Kami perlu belajar dan meningkatkan beberapa perkara yang ditampilkan oleh KL City sekiranya ingin mendapatkan kemenangan dan bahagian hadapan Penang perlu lebih agresif," katanya.

Ketika perlawanan tersebut berlangsung, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan import dari Australia, Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah pada minit ke-79, kerana menjatuhkan Gomes ketika cuba menghalangnya di hadapan kotak penalti.

Pasukan tuan rumah mendapat peluang untuk mendahului perlawanan menerusi sepakan percuma susulan insiden itu, namun percubaan penyerang import dari Lubnan, Soony Saad sedikit melewati palang gol.s

Pasukan Harimau Kumbang kekal berada di tangga ke-10 dengan mengutip 15 mata manakala, KL City memperoleh 23 mata yang di kedudukan keenam carta Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram