Ingatkan dah tiada, Jocelyn Chia muncul kembali perjelas isu akaun Instagram 'hilang'


  • Tular
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Tangkap layar video persembahan Jocelyn yang menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai jenaka.

DISANGKAKAN sudah hilang di media sosial, pelawak komedi berdiri, Jocelyn Chia yang membuat jenaka menghina rakyat Malaysia dan tragedi M370 tiba-tiba muncul kembali di akaun Instagram @chiacomedy pada Jumaat.

Dia menerusi beberapa Instagram Story memaklumkan akaunnya tidak dipadamkan, tapi sebenarnya digantung atas sebab menyamar sebagai seorang selebriti.

"Ada khabar angin mengatakan sama ada saya memadam akaun Instagram atau akaun ini dibatalkan oleh Instagram. Sebenarnya akaun saya digantung kerana dipercayai menyamar sebagai seorang selebriti.

"Saya rasa macam siapa selebriti itu??? Jawapan: Jocelyn Chia," katanya pada Jumaat.

Dia juga dilihat seolah-olah tidak menyesal dengan perbuatannya dan bersikap kurang sensitif dengan perkara yang timbul apabila menyertakan emoji ketawa dan lagu Famous nyanyian Kanye West dalam hantaran tersebut.

Screenshot_20230609-143351_1

Tangkap layar Instagram Story Jocelyn pada Jumaat menyatakan sebab akaun miliknya hilang pada Khamis.

Bagaimanapun, masih tiada sebarang permohonan maaf daripadanya berhubung jenaka yang menghina rakyat Malaysia serta tragedi MH370.

Majoriti pada Khamis melaporkan akaun Instagram Jocelyn sudah dinyah aktif selepas teruk dikecam kerana membuat sketsa komedi berupa penghinaan terhadap negara Malaysia apabila beberapa kali membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan yang dimiliki antara kedua-dua negara terbabit.

Satu video berdurasi seminit 29 saat yang tular di media sosial memaparkan tindakan individu berkenaan dilihat sengaja mempersendakan Malaysia.

Antara isu yang dibangkitkan sebagai bahan jenaka dalam persembahan itu adalah berkenaan kemajuan ekonomi Malaysia yang dikatakan lebih rendah berbanding Singapura yang diiktiraf sebagai negara membangun di mata dunia.

Selain itu, Jocelyn turut memetik beberapa isu hangat berkaitan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang berlaku pada 2014. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram