Terus lakar sejarah, DJ Lin raih Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia 3 kali berturut-turut


  • Hiburan
  • Jumaat, 09 Jun 2023

DJ Lin (kanan) dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia menerusi anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2023 baru-baru ini. 

PENYAMPAI Radio Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin terus melakar sejarah dalam kariernya apabila dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia menerusi anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2023 untuk kali ketiga baru-baru ini.

Lebih menarik, pengiktirafan yang diterimanya itu merupakan anugerah ke-13 buat dirinya pada tahun ini.

Penyampai radio untuk Segmen Suria Cinta itu turut meluahkan rasa bersyukur atas pengiktirafan yang diberi setelah lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air.

Beliau yang juga pengurus besar stesen radio tersebut berkata, anugerah yang diterima adalah bukti dirinya masih relevan walaupun berdepan kedatangan muka baharu dalam industri penyiaran radio.

BKL_7471

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu dari lima negara.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah berprestij daripada Reader’s Digest buat kali ketiga.

"Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana setelah lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai.

"Terima kasih buat pihak penganjur, majalah antarabangsa, Reader’s Digest dan juga buat keluarga, rakan-rakan media, para peminat dari seluruh negara, juga tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group (SMG) Berhad yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang penyampai radio," katanya.

Dalam pada itu, Roslinda berkata, beliau akan terus berusaha untuk berikan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya pendengar setia Suria Cinta.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih buat para pendengar yang sentiasa menyokong Suria FM.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang dipilih daripada lima negara antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram