Kesihatan kurang baik, Haqimi Azim digugurkan daripada skuad Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Penyerang Harimau Malaya, Haqimi Azim ketika beraksi bersama Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2022.

KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon terpaksa melepaskan pemain penyerang, Haqimi Azim Rosli disebabkan masalah kesihatan dialami pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, pihaknya memantau perkembangan pemain muda berusia 20 tahun berkenaan namun tiada tanda positif dia dapat hadir untuk menjalani kem latihan bersama rakan pasukan.

Dia berkata, selain Haqimi Azim, kesemua 26 pemain yang terpilih dalam senarai skuad Harimau Malaya berada dalam keadaan baik dan sudah tiba untuk latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Sabtu.

"Sehingga malam semalam (Jumaat), kami memantau Haqimi Azim namun tidak nampak peningkatan.

"Jadi saya fikir atas sebab rawatan perubatan dia digugurkan daripada pasukan. Setakat ini, semua orang (pemain lain) dalam keadaan baik,” katanya pada sidang media sebelum sesi latihan hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di SSMZA pada Sabtu.

Bagi panggilan kem latihan pusat Jun ini, Pan-gon mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac lepas.

Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck; tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.

Dua aksi perlawanan persahabatan menentang pasukan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu bakal menjadi medan ujian buat skuad negara sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram