[VIDEO] 'Tentu saja Bali United', Jesse Lingard beri bayangan sertai Liga Indonesia selepas jadi ejen bebas


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Lingard beri bayangan bakal sertai Bali United selepas dilepaskan Nottingham Forest.

KELAB Indonesia, Bali United mengejutkan seluruh penyokong bola sepak di negara itu susulan memberi bayangan bakal menandatangani bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard pada Jumaat.

Bali United menerusi media sosial rasmi pasukan memuat naik gambar Lingard bersama satu kenyataan yang dibuat oleh pemain kebangsaan England itu.

Kenyataan yang dibuat oleh Lingard itu ialah ketika sesi 'meet and greet' bersama peminat di Hotel InterContinental, Jakarta, Indonesia pada Khamis.

Lingard ditanya oleh salah seorang wartawan tempatan tentang pasukan manakah yang bakal dia sertai jika ingin meneruskan karier bola sepaknya di dalam Liga Indonesia.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, "Tentu saja Bali United."

Pemain sayap Nottingham Forest itu bakal menjadi ejen bebas selepas kontraknya bersama kelab itu tidak akan disambung.

Lingard hadir ke Indonesia bagi memenuhi jemputan salah satu jenama sukan, Concave Indonesia untuk melancarkan produk kasut terbaharu yang bertemakan 'Black Pink' pada Khamis.

Musim ini, Lingard hanya melakukan 17 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris tanpa merekodkan sebarang jaringan gol ataupun assist.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, nilai pasaran semasa Lingard ialah melebihi RM59.5 juta dan akan menjadi ejen bebas pada 1 Julai nanti.

Pusat Latihan Bali United

Pusat latihan baharu Bali United yang sedang dalam pembinaan. Instagram/Bali United

Bali United yang kini sedang mentransformasikan pasukan mereka dengan pembinaan pusat latihan baharu serta menaik taraf rumput stadium dengan 'hybrid grass' pastinya menjadi salah satu faktor Lingard ingin berkenalan ke pasukan tersebut.

Untuk rekod Liga Indonesia pernah menarik minat beberapa pemain ternama seperti Michael Essien (Persib Bandung), Peter Odemwingie (Madura United) dan Marco Motta (Persija Jakarta).

Sepanjang bergelar pemain bola sepak Lingard pernah beraksi bersama Leicester City, Brighton Hove Albion, Derby County, West Ham United dan Manchester United sebelum berhijrah ke Nottingham Forest musim lalu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram