'Syukur, Alhamdulilah', Yusri Che Lah positif walaupun Perak ditundukkan KDA FC


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Yusri Che Lah menggantikan tempat Datuk Lim Teong Kim yang dipecat oleh Perak FC. — Facebook/Perak FC

KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah kekal positif di sebalik kekalahan 0-3 pasukannya kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Terdahulu, Perak FC bertandang ke Stadium Darul Aman, Kedah pada Rabu dengan harapan dapat memperbaiki prestasi selepas Yusri dinaikkan pangkat daripada skuad muda The Bos Gaurus.

Amirbek Juraboev berjaya menyumbangkan dua gol buat skuad Hijau Kuning manakala Willian Lira turut tersenarai sebagai penjaring apabila menjaringkan satu gol.

Meskipun tewas, Yusri selepas perlawanan tetap bersikap positif dengan keputusan yang diperolehi oleh anak-anak buahnya.

“Syukur, Alhamdulilah walaupun tewas dengan keputusan yang memang kita tahu keadaannya begini.

“Kita cuba mengurangkan defisit jaringan sebenarnya sebab itulah kita cuba mempertahankan daripada awal.

“Apabila kita dibolosi gol pertama, kita masih lagi berharap di separuh masa kedua kita cuba mengimbangi,” katanya kepada Astro Arena.

Tambahnya lagi situasi pasukan yang tidak mempunyai pemain berpengalaman gagal menyerap segala tekanan yang diberikan oleh pihak lawan.

"Cumanya pemain dengan tiada pengalaman untuk menghadapi tekanan-tekanan pihak lawan dengan satu kesilapan sudah pasti akan menjaringkan gol untuk pihak lawan.

"Malam ini (Rabu) di separuh masa kedua kita mungkin terleka dalam menerima dua jaringan lawan dan kita terus jauh dalam permainan," ujarnya.

Perak kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan mencatatkan sembilan kekalahan dalam 14 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram