Nama Junior Eldstal dalam HM mula dipertikai, fans mahu 4 pemain dipanggil Kim Pan-gon


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Junior musim ini dipinjamkan oleh JDT ke kelab Thailand, PT Prachuap. — Agensi

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan senarai 27 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 10 Jun 2023.

Seramai 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon akan ke kem latihan pusat di Kuala Terengganu, Terengganu bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, masing-masing pada 14 dan 20 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu telah mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac 2023.

Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck.

FAM

Senarai 27 pemain yang dipanggil Pan-gon.

Manakala tiga pemain yang kembali dipanggil oleh Pan-gon ialah Natxo Insa, Junior Eldstal, Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.

Namun nama pemain warisan Sweden-Malaysia, Junior Eldstal mula menjadi pertikaian penyokong bola sepak kerana ada yang menganggap ramai lagi pemain yang berkualiti di dalam Liga Malaysia.

Ini antara empat nama yang dicadangkan penyokong bagi menggantikan Junior dalam skuad Harimau Malaya:

Fadhli antara nama yang disebut untuk dipanggil Pan-gon bagi menggantikan Junior. Facebook/Sri Pahang FC

1. Fadhli Shas

Selepas beraksi cemerlang untuk negara pada kejohanan Sukan SEA 2011, Fadhli Shas pernah membuat kejutan apabila dinamakan sebagai bek tengah terbaik Asia untuk kategori bawah 23 tahun oleh goal.com

Musim ini, nama Fadhli semakin disebut-sebut apabila turut tampil cemerlang mengemudi pertahanan Sri Pahang FC selepas skuad Tok Gajah merekrut khidmat pemain berusia 31 tahun itu dengan kontrak dua tahun bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Fadhli antara nama yang disebut untuk dipanggil Pan-gon bagi menggantikan Junior yang dilihat tidak lagi ideal di posisi pertahanan ketika ini.

Shahrul Nazeem

Shahrul menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe bergandingan dengan pemain import dari Jordan, Yazan Al-Arab. Facebook/Selangor FC

2. Shahrul Nazeem

Siapa sangka, prospek pertahanan muda Selangor FC yang menjadi tumpuan penyokong sejak dua musim lalu, Shahrul Nazeem menjadi sebutan penyokong untuk menggantikan Junior.

Disebabkan aksi konsisten sepanjang musim lalu, Shahrul atau lebih dikenali sebagai 'Afro' berjaya menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan tonggak utama skuad kebangsaan dalam mengharungi kempen Piala AFF yang mana Harimau Malaya tewas di tangan Thailand di peringkat separuh akhir.

Kini, Shahrul menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe bergandingan dengan pemain import dari Jordan, Yazan Al-Arab untuk menjaga benteng pertahanan skuad Gergasi Merah.

Rodney Celvin

Rodney digelar kereta kebal oleh penyokong bola sepak tempatan dan sering mendapat pujian daripada penyokong Hijau Kuning. Facebook/KDA FC

3. Rodney Celvin

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Ghana, Rodney Celvin berjaya memikat pengurusan Kedah untuk mengikatnya secara tetap pada 2022 selepas dipinjamkan daripada Selangor pada musim 2021.

Meskipun bertukar jurulatih musim ini, Rodney tetap menjadi pilihan pengendali baharu Hijau Kuning, Nafuzi Zain untuk mengawal benteng pertahanan Kedah.

Dikenali dengan corak permainannya yang keras, Rodney digelar kereta kebal oleh penyokong bola sepak tempatan dan sering mendapat pujian daripada penyokong Hijau Kuning atas persembahannya.

Sepanjang bergelar pemain bola sepak, Rodney sudah mewakili empat buah pasukan dalam Liga Malaysia antaranya Sarawak FC, PKNS FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman.

Pemain berusia 26 tahun ini juga pernah mewakili skuad Harimau Muda pada 2018 bagi kejohanan Sukan Asia di Indonesia.

Harith Haikal

Harith Haikal antara nama yang menjadi calon muda untuk menggantikan Junior. Facebook/Selangor FC

4. Harith Haikal

Beraksi baik ketika bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam kejohanan Sukan SEA, Harith Haikal antara nama yang menjadi calon muda untuk menggantikan Junior.

Dengan kehadiran beberapa pemain muda B-23, Harith Haikal boleh menjadi antara pemain yang menemani beberapa rakan dari skuad Sukan SEA bulan lalu.

Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ini kini mula mendapat tempat bersama Gergasi Merah apabila sering bertukar-tukar tempat bersama Shahrul Nazeem.

Ketenangan dan bacaan bola yang baik menjadi salah satu kelebihan Harith Haikal menembus ke dalam kesebelasan utama Selangor musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram