KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tampak berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya selepas membenam Kelantan United dengan keputusan 7-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.
Penyerang utama, Ayron del Valle, muncul pemain paling cemerlang dengan meledakkan hatrik dan menghasilkan dua bantuan jaringan sambil Mukhairi Ajmal Mahadi, Faisal Halim, Yohandry Orozco dan Aliff Izwan Yuslan turut mencatatkan nama selaku penjaring.
Kelantan United memperoleh sepakan penalti selepas Yan Victor dijatuhkan Syahir Bashah dan Devid tidak berdepan masalah untuk menyudahkan peluang itu pada minit ke-75 tetapi ia masih belum cukup untuk menamatkan malam yang panjang buat Kelantan United.
Dengan kemenangan besar yang berjaya dilakar Gergasi Merah, Cheng Hoe amat gembira dengan 'team spirit' pasukan Selangor untuk meraih tiga mata penuh ke atas Kelantan United selepas tewas kepada PDRM tempoh hari.
"Memang satu 'team spirit' yang baik untuk bangkit selepas kekalahan ke atas PDRM tempoh hari.
"Kita nampak 'attitude' dan juga sikap ingin menang pada perlawanan malam ini (Rabu) cukup penting.
Tan Cheng Hoe amat gembira dengan "team spirit" pasukan Selangor yang meraih kemenangan besar ke atas Kelantan United selepas tewas kepada PDRM tempoh hari.#demiligakita pic.twitter.com/HKexV2vDn8
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) June 7, 2023
"Yang penting setiap kali kita dapat peluang kita dapat menjaringkan gol itulah yang memberikan kita keyakinan dan juga semangat mampu 'gain momentum' bagi perlawanan malam ini.
"Tahniah kepada semua pemain kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi," katanya kepada Astro Arena.
Kemenangan ke atas Kelantan United, Selangor FC mengekalkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas 14 perlawanan dengan 31 mata. — Majoriti