Muncul dalam sesi latihan, fans harap tonggak utama Sang Badak rantai PDRM


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Sekitar sesi latihan pemain Sabah FC untuk menghadapi tentangan PDRM FC dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook/ SabahFootballClub

PASUKAN Sabah FC terpaksa berputih mata selepas tewas di tangan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 1-2 dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman, Alor Setar,Kedah pada Jumaat.

Kekalahan tersebut merupakan kali ketiga buat skuad Sang Badak selepas ditundukkan oleh pasukan gergasi Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam saingan Liga Super.

Bukan sahaja ditewaskan di laman tuan rumah namun The Rhinos terpaksa kehilangan tonggak utama, Jailton Paraiba apabila mengalami kecederaan yang serius berikutan pelanggaran terhadap salah satu pemain Sang Kenari ketika perlawanan berlangsung.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 15.19.34

Kelibat Jaiton Paraiba dalam sesi latihan bersama skuad Sabah FC. — Facebook/ Sabahfootballclub

Pemain import kelahiran Brazil itu tidak dapat meneruskan permainan tersebut kerana terpaksa diusung keluar untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran.

Ketiadaan tonggak utama itu dalam perlawanan menyaksikan barisan pemain Sang Badak tidak menumpukan sepenuhnya dan terpaksa bertahan dengan asakan demi asakan daripada tuan rumah yang akhirnya memakan diri.

Oleh itu, rata-rata penyokong bimbang jika pemain berusia 32 tahun masih mengalami kecederaan dan tidak dapat membantu skuad Sang Badak untuk perlawanan ke-14 Liga Super.

Namun, dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook Sabah Football Club, kelihatan kelibat pemain sayap itu turut berada dalam sesi latihan yang diadakan di Klang Valley.

Kehadirannya dalam sesi latihan tersebut merupakan berita yang paling dinanti-nantikan oleh penyokong setia Sabah FC.

Ini kerana, para penyokong The Rhinos pastinya menginginkan agar pemain berketinggian 1.66 meter itu dapat menampilkan aksi menarik dengan ketangkasan bermain iaitu mampu mencipta ruang untuk rakan sepasukan membuat percubaan gol.

Walaupun memiliki tubuh badan yang kecil namun ia merupakan kelebihan untuk melepasi benteng pertahanan pihak lawan dengan mudah dan sudah meledak empat gol pada musim ini.

Pastinya, kehadiran Jailton dapat merobek kubu pertahanan pasukan PDRM FC dalam perlawanan seterusnya.

Skuad Sabah FC akan menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 8 Jun nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram