Kisah 10 tahun lalu, Penang pernah nikmati musim cemerlang di bawah kendalian legenda kelab


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Penang FC muncul sebagai juara Liga FAM selepas mencatatkan kemenangan demi kemenangan.

SELEPAS 13 perlawanan Liga Super, Penang FC berada di tangga ke-10 selepas mereka hanya mengumpul 14 mata hasil empat kemenangan dan dua keputusan seri.

Kedudukan tersebut seperti kurang memberangsangkan berbanding musim lepas yang mana pasukan Utara tanah air menamatkan saingan di kedudukan tercorot.

Namun, bagi penyokong tegar Harimau Kumbang, nasib yang dialami Penang FC ketika ini tidaklah amat mengecewakan jika hendak dibandingkan dengan 10 tahun lalu.

Mereka yang ketika itu beraksi dalam saingan Liga FAM jarang diberikan perhatian oleh penyokong bola sepak tempatan memandangkan liga tersebut merupakan divisyen ketiga tanah air.

Selain skuad Harimau Kumbang, pertandingan tersebut disertai beberapa kelab-kelab kecil, termasuk Melaka FA, Tumpat FA dan Harimau Muda C.

Pasukan berkenaan ketika itu dikendalikan legenda kelab, Merzagua Aberrazak yang pernah mewarnai arena bola sepak tanah air dari 1996 hingga 2001.

199637587_279613303680815_840504982426931685_n

Merzagua (kanan) bersama Manzoor ketika zaman kegemilangan mereka.

Bagaimanapun, senyuman masih boleh dilakar penyokong Penang apabila mereka muncul sebagai juara Liga FAM selepas menang ke atas Kuantan FA dengan keputusan 1-0 di Stadium Temerloh, Pahang.

Kejayaan itu diraih dengan empat perlawanan masih perlu diharungi memandangkan mereka sudah mengumpul mata yang mencukupi untuk membawa pulang mahkota liga itu buat kali kelima.

Mengimbau kata-kata Merzagua, catatan serta rekod yang diraih dalam liga kira-kira 10 tahun lalu itu mengharumkan nama kelab terbabit.

"Kini, kami merupakan pasukan terbaik dalam Liga FAM, tetapi kami tidak akan menghentikan usaha kami di sini. Sasaran kami adalah untuk menjuarai Liga Perdana musim depan (2014).

"Saya perlu berterima kasih kepada Penang FA dan orang ramai yang tidak henti-henti menyokong kelab ini. Kami tidak akan dapat melakukannya tanpa anda," katanya.

351379394_176643178703878_5508696047507297398_n

Penang FC kini berada di tangga ke-10 selepas musim yang kurang konsisten. Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, harapan tersebut tidak tercapai pada musim berikutnya apabila pasukan berkenaan terpaksa berpuas hati untuk menamatkan saingan Liga Perdana 2014 di tangga ketiga.

Posisi itu sekali gus menggagalkan usaha mereka untuk kembali ke divisyen teratas bola sepak tanah air dengan PDRM FC dan Felda United layak ke Liga Super.

Namun, mereka tidak perlu menunggu lama apabila Penang FC akhirnya menamatkan penantian untuk beraksi di Liga Super selepas muncul sebagai naib juara Liga Perdana 2015.

Sejak itu, skuad Harimau Kumbang beberapa kali terpaksa berdepan nasib tidak konsisten apabila mereka tersingkir ke liga bawahan, namun berjaya bangkit.

Kini, dengan pasukan yang dikendalikan Manzoor Azwira Abd Wahid itu berada di kedudukan kurang meyakinkan, harapan Penang FC untuk terus melakar sejarah seperti tahun-tahun lalu terpaksa dinantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram