PERAK Bison masih belum berpuas hati meskipun sudah merekodkan tiga kemenangan dan dua kekalahan dalam lima perlawanan saingan Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/2023.
Beraksi di laman sendiri di Kuala Kangsar, Perak memberi permulaan baik kepada Bison dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas KPT-Masum Knights selepas kutipan mata 21-14, 21-6 pada minggu pertama STL.
Namun pada aksi bertemu Sabah Mountaineers di perlawanan kedua minggu pertama, regu Yob terpaksa berusaha lebih beraksi dalam tiga set bagi mengatasi pasukan Borneo itu dengan 2-1 .
Pada aksi minggu kedua pula, kemenangan Bison dihentikan seketika apabila tewas di tangan juara bertahan, ATM Guardian 0-2 namun berhasil bangkit menumpaskan Johor Tigris 2-0 dalam perlawanan diadakan di Bayan Baru, Pulau Pinang itu.
Momentum kemenangan tidak bertahan lama buat anak-anak buah Suhairi Abdul Aziz apabila tewas 0-2 pada naib johan musim lepas, Kuala Lumpur (KL) Thunders.
Aksi pemain Perak Bison ketika menumpaskan Johor Tigris 2-0.
Bagi pengurus pasukan, Syamsul Istar Ibrahim Istar, kekalahan di tangan pasukan gergasi itu boleh dielakkan namun hakikat kurangnya keserasian antara pemain sedikit merencatkan permainan mereka.
“Daripada lima perlawanan dah menang 3 dan 2 kalah. Nak kata memuaskan tidaklah juga, cuma perlawanan yang kami rasa patut menang itu kalah. Tapi masih puas hati berada untuk perebutan tempat utama di atas.
“Kita kalah kepada pasukan yang lama bermain bersama. Pemain utama tiga daripada empat baru sertai Perak. Jadi dari segi keserasian kurang lagi. Form ATM dengan KL Thunders lebih baik.
“Keserasian bergantung kepada pemain. Pasukan yang dah main lama bersama pun nampak ada tak serasi. Pemain kita bukan tak serasi cuma baru ditubuhkan dan masih ada ruang untuk ditambah baik,” katanya kepada Majoriti.
Bercakap mengenai sasaran musim ini, Syamsul Istar berharap agar regu Yob berada dalam kelompok empat terbaik bagi melayakkan pasukan ke STL Champions Cup nanti.
Menurutnya, sasaran berkenaan adalah realisitik dengan melihat kepada pencapaian mereka setakat lima perlawanan dan kepercayaannya kepada barisan pemain.
Bison menganggap Penang Black Panters sebagai pesaing terdekat selepas ATM dan KL Thunders.
Pengurus berusia 39 tahun itu bagaimanapun tidak menolak bahawa mereka masih perlu menghadapi satu lagi pesaing terdekat iaitu Penang Black Panters.
“Sasaran peribadi saya, musim ini nak layak ke Champions Cup iaitu top 4 nampak realistik memandangkan kita kalah dengan pasukan johan, ATM dan naib johan, KL. Dengan barisan pemain yang ada, kita mampu untuk top 4.
“Selain KL dan ATM, saya rasa Penang akan berikan saingan sengit. Tapi pasukan lain tidak boleh diambil mudah kerana ada pemain kebangsaan dan bekas kebangsaan,” tambahnya.
Selepas ini, Perak Bison akan dijadualkan menentang Negeri Sembilan Antlers (Sabtu, 10 Jun) dan Melaka Titans (Ahad, 11 Jun) bagi saingan minggu ketiga di Seremban, Negeri Sembilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram