'Itu hal peribadi mereka', Kim Swee mahu Rizal dan kekasih selesaikan masalah percintaan


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Ketika aksi menentang PDRM FC, Rizal tidak tersenarai sebagai pemain kesebelasan utama mahupun dalam senarai skuad simpanan. — Facebook/SabahFC

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menegaskan kontroversi membabitkan pemain kelab itu yang terpalit dengan dakwaan memukul teman wanitanya, tidak mengganggu perancangan permainan The Rhinos apabila mereka tewas tipis kepada PDRM FC pada Khamis.

Sebelum perlawanan yang menyaksikan Sabah FC tewas di tangan PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Khamis, seorang tonggak pertahanan mereka dipercayai Rizal Ghazali ditahan pihak polis susulan dakwaan wanita tersebut.

Laporan daripada pihak Majoriti sebelum ini menyatakan bahawa hasil siasatan mendapati insiden tersebut terjadi akibat perselisihan faham antara mangsa dengan teman lelakinya sehingga berlaku keganasan.

Kim Swee bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berkenaan kontroversi tersebut dan berpendapat ia merupakan isu peribadi dan tidak memberikan kesan kepada persiapan Sabah FC.

WhatsApp Image 2023-06-09 at 01.11.43

Kim Swee menegaskan perkara itu tidak mengganggu persembahan The Rhinos. — Facebook/SabahFC

“Kita harus menghormati pasangan berkenaan. Bagi saya itu hal peribadi. Apa yang berlaku luar kawalan.

“Bagi saya mereka perlu menyelesaikan masalah masing-masing. Ia tidak menganggu persembahan Sabah FC dan prestasinya,” katanya pada siang media selepas perlawanan The Rhinos menentang The Cops pada Khamis.

Dalam perlawanan berkenaan juga menyaksikan Sabah FC tidak menyenaraikan Rizal sebagai pemain kesebelasan utama mahupun dalam senarai skuad simpanan.

Pada Rabu, menerusi satu hantaran di Instagram, wanita yang bekerja sebagai doktor estetik itu berkongsi laporan polis bertulis mengenai dakwaan pemain bola sepak berkenaan memukul dahi, mencekik leher dan menggigitnya lengan kiri dan kanannya.

Susulan kejadian berkenaan, Hana juga memaklumkan bahawa dia mendapat rawatan susulan di sebuah hospital swasta, Hospital Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya dengan pertolongan daripada kakitangan hotel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram