Giliran rakan lain 'digari' PDRM, 'roadblock' The Cops buat Sang Badak tewas tipis di MBPJ


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Antara aksi perlawanan Sabah FC menentang The Cops di Stadium MBPJ pada Khamis. — Facebook/PDRMFC

PDRM FC meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Sabah FC 1-0 dalam aksi Liga Super minggu ke-14 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Pada perlawanan itu, Datuk Ong Kim Swee meletakkan gandingan Muhammad Jafri Firdaus Chew dan import, Jailton Paraiba untuk mengemudi jentera serangan The Rhinos.

Ramuan Kim Swee bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila tiada sebarang serangan berbahaya dilakukan Sang Badak dan percubaan mereka hanya berhasil diselamatkan penjaga gol The Cops, Mohamad Ramdhan.

Bijak memanfaatkan peluang, skuad The Cops membuat kejutan apabila meraih gol hasil jaringan dilakukan oleh penyerang tempatan Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-26.

Sebelum babak pertama berakhir, nasib tidak menyebelahi PDRM apabila berlaku pelanggaran melibatkan Ramdhan sehingga Willfred Jabun terpaksa dimasukkan bagi menjaga gawang skuad The Cops.

Bersambung di babak kedua, anak-anak buah Kim Swee terus cuba melakukan asakan demi asakan namun barisan pertahanan PDRM melakukan tugas yang baik dalam menjaga kubu mereka daripada dibolosi.

WhatsApp Image 2023-06-09 at 00.24.40

Nabil menjadi penjaring tunggal dalam perlawanan di Stadium MBPJ. — Facebook/PDRMFC

Skuad Sabah FC berusaha untuk bangkit sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri tetapi masih gagal menembusi tembok kebal pasukan tuan rumah dengan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Permainanan bertahan yang dilakukan skuad kendalian Azzmi Aziz itu turut menjadi perbincangan dalam kalangan penyokong The Rhinos.

"Bola susah nak masuk gol kerana ada roadblock," kata penyokong Sabah FC, Adam Kamil.

"Cantik roadblock malam ini..tahniah PDRM...Sabah FC usaha lagi," tambah penyokong, Jani Sahar.

“Tahniah PDRM. Betul-betul menjadi taktiknya. Semua pasukan kena study lebih nak pecahkan tembok PDRM,” kata seorang lagi penyokong, Aziz Suradi.

Kekalahan tersebut lebih menyakitkan Sabah FC selepas salah seorang pemain mereka terpalit dengan dakwaan memukul teman wanitanya.

Wanita berkenaan dikenali sebagai Dr Hana Rose mendakwa bahawa kekasihnya yang dipercayai tonggak pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali memukulnya dalam satu insiden di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Untuk rekod, PDRM kini digelar sebagai giant killer selepas menewaskan tiga kelab gergasi iaitu menang 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dan menumpaskan Selangor FC 1-0 pada Sabtu lepas. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram