'Ada selisih faham', polis tahan, ambil keterangan bekas pemain bola kebangsaan cekik, hempas awek di hotel


  • 112
  • Khamis, 08 Jun 2023

Teman wanita seorang pemain bola sepak menjadi mangsa belasahan lelaki terbabit dalam kejadian di Petaling Jaya, pada Rabu. — Instagram

GARA-GARA disyaki mencederakan teman wanitanya di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, seorang lelaki dipercayai bekas pemain bola sepak ditahan polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berkenaan insiden tersebut pada pukul 6 petang.

Katanya, hasil siasatan mendapati insiden tersebut terjadi akibat perselisihan faham antara mangsa dengan teman lelakinya sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian badan mangsa.

"Suspek juga bertindak merosakkan telefon bimbit mangsa. Hasil maklumat dan risikan, polis menahan suspek dalam satu serbuan di sebuah hotel di sekitar Petaling Jaya untuk membantu siasatan.

"Kita tahan dan ambil keterangan suspek selama beberapa jam sebelum kita bebaskan dia. Punca perselisihan faham masih disiasat, tapi ia melibatkan hubungan percintaan antara kedua-dua pihak," katanya kepada Majoriti pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 323 / 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek turut dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan kes berkenaan disiapkan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 037966222," katanya.

Majoriti pada Khamis, seorang wanita dipercayai kekasih kepada pemain bola sepak sebuah kelab Liga Super mendakwa dirinya menjadi mangsa belasahan teman lelakinya itu, baru-baru ini.

Wanita berkenaan dikenali sebagai Dr Hana Rose mendakwa, dia dipukul lelaki berkenaan dalam satu insiden di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Rabu.

Doktor estetik itu dalam laporan polis yang dibuat mendakwa pemain bola sepak berkenaan memukul dahi, mencekik leher dan menggigit lengan kiri dan kanannya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram