SEORANG wanita dipercayai kekasih kepada pemain bola sepak sebuah kelab Liga Super mendakwa dirinya menjadi mangsa belasahan teman lelakinya itu baru-baru ini.
Wanita berkenaan dikenali sebagai Dr Hana Rose mendakwa, dia dipukul lelaki berkenaan dalam satu insiden di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Doktor estetik itu dalam laporan polis yang dibuat mendakwa pemain bola sepak berkenaan memukul dahi, mencekik leher dan menggigit lengan kiri dan kanannya.
Dr Hana Rose menunjukkan kesan lebam pada tangan, jari dan lengannya. — Instagram
Wanita berasal dari Sabah itu juga mendakwa ditolak dan dicampak sehingga jatuh ke lantai hingga mengalami lebam di dahi, lengan kanan dan kiri serta jari tangan.
"Telefon saya juga dihempas hingga rosak dan dibuang ke dalam mangkuk tandas bilik hotel," katanya dalam laporan polis berkenaan.
Dr Hana Rose memuat naik sebahagian daripada laporan polis itu di Instagram Story pada Khamis.
Tangkap layar snipet laporan polis yang dibuat oleh Dr Hana Rose. — Instagram
Berdasarkan laporan itu lagi, dia meminta bantuan pihak hotel untuk menghantarnya ke Hospital Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, di Instagram, Dr Hana Rose memuat naik status berbunyi, "Assaulted by the man I love (Dikasari oleh lelaki yang saya cintai). Dulu berjanji untuk setia selamanya sehingga tua tapi akhirnya... terkadang wanita boleh jadi bodoh dengan orang yang dia sayang.
"Berdiam dan bertahan. Sekarang saya fobia dan trauma.
"Saya yang bodoh, terlalu percaya dan sayang kepadanya. Saya hanya mampu berdoa, puas sudah saya bersabar," tulisnya lagi.
Tangkap layar status yang dimuat naik oleh Dr Hana Rose. — Instagram
Wanita berkenaan dipercayai berada di Petaling Jaya untuk memberi sokongan kepada pasukan yang diwakili teman lelakinya itu dalam saingan Liga Super pada Khamis.
Selain beraksi di Liga Super, pemain bola sepak berkenaan pernah dipanggil beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram