JARINGAN roket jarak jauh sudah sinonim dengan pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal apabila pernah dinobatkan sebagai Gol Terbaik ABK 2022 semasa berdepan Melaka United FC pada 1 Oktober 2022.
Pemain berusia 21 tahun itu sekali lagi berjaya menghasilkan dua gol ketika membantu skuad Gergasi Merah menewaskan Sri Pahang FC dalam perlawanan Piala FA pada Sabtu.
Mukhairi menghasilkan satu gol menerusi rembatan jauh luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Izham Tarmizi.
Manakala satu lagi jaringan menerusi rembatan deras yang melencong ke dalam gawang gol selepas Mukhairi menerima umpanan dari Quentin Cheng.
Mukhairi ketika meraikan jaringannya ketika menentang Sri Pahang FC. — Facebook/Selangor FC
Seorang lagi pemain muda Selangor yang menjadi tumpuan penyokong sejak musim lepas ialah Sharul Nazeem.
Disebabkan aksi konsisten sepanjang musim lalu, Shahrul atau lebih dikenali sebagai Afro berjaya menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
Pemain berusia 23 tahun itu antara tonggak utama skuad kebangsaan dalam mengharungi Piala AFF yang mana Harimau Malaya tewas di tangan Thailand dalam pentas separuh akhir.
Selangor yang dikenali selalu menghasilkan bakat-bakat muda baharu mula membuatkan penyokong Gergasi Merah risau dengan kehilangan dua pemain itu.
Sebelum ramai pemain muda Selangor berhijrah ke pasukan lawan seperti Nazmi Faiz, Azrif Nasrulhaq, Adam Nor Azlin, Syahmi Safari dan ramai lagi.
Shahrul Nazeem. — Facebook/Selangor FC
Dengan prestasi yang menakjubkan ditunjukkan oleh Mukhairi dan Shahrul, timbul persoalan dalam kalangan penyokong berapa lama pihak pengurusan ikat kontrak bersama mereka.
"Mukhairi dengan Afro ini Selangor FC ikat berapa tahun ya? soal Syafiq Kigyoka.
"Selalunya player main bagus akan habiskan kontrak dan terus hilang," ujar Muhd Din.
"Kenapa tanya? ada orang tengah intai dua pemain itu ke?" soal Hasdin MY.
Dalam perlawanan menentang Sri Pahang, keputusan berakhir dengan 4-0 sekali gus menyaksikan Selangor menempah pertemuan dengan Negeri Sembilan FC yang berjaya menumpaskan pasukan Liga M3, PIB FC 2-0 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada peringkat suku akhir Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram