Selain Kelantan, Sang Kenari juga berpotensi dapat 4 talian hayat dari Harimau Selatan


  • Podium
  • Selasa, 02 Mei 2023

Selain Kelantan, JDT difahamkan akan meminjamkan beberapa pemainnya kepada Kedah. — Facebook/JDT

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman pada Isnin memberi bayangan bahawa pasukannya akan mendapat tonik baharu pada jendela perpindahan kedua nanti apabila berkemungkinan bakal mendapat pemain daripada Johor Darul Takzim (JDT).

Dalam satu entrinya di laman Facebook, Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham itu memberitahu penyokongnya impian untuk melihat pemain pinjaman dari juara bertahan Liga Super tersebut ke kem Kelantan boleh menjadi realiti sekiranya mendapat perkenan pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Rentetan daripada perkongsian berkenaan, penyokong JDT rata-ratanya sudah memberi senarai pemain impian mereka dan di antaranya ialah Safawi Rasid yang kini sedang berkelana di Thailand bersama Ratchaburi FC.

Selain penyokong Kelantan yang gembira dengan berita tersebut, suasana dalam kalangan pemain ke-12 Kedah Darul Aman (KDA) FC juga bertukar gembira apabila Sang Kenari turut mendapat talian hayat daripada skuad Harimau Selatan.

Walaupun desas-desus mengatakan pasukan di negeri Jelapang Padi itu bakal mendapat dua pemain pinjaman dari JDT pada jendela perpindahan kedua nanti, tidak salah jika ada sebahagian penyokong memasang impian lebih daripada bilangan tersebut.

Berikut empat pemain Harimau Selatan yang berkemungkinan menjadi wira baharu untuk KDA FC pada jendela perpindahan kedua nanti:

1) Syafiq Ahmad

WhatsApp Image 2023-05-02 at 17.35.17

Syafiq Ahmad memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Kedah. — Facebook/JDT

Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad boleh dikatakan pemain kegemaran penyokong Hijau Kuning dan saban tahun ada sahaja penyokong yang berharap untuk melihatnya kembali menyarung jersi KDA FC.

Kali terakhir pasukan Kedah mendapatkan khidmat bekas pemain Bawah-21 tahun (B-21) mereka adalah ketika Syafiq dipinjamkan dari Harimau Selatan bagi membantu skuad Sang Kenari menempuh musim 2022.

Syafiq yang kini hanya beraksi sebagai pemain gantian dengan hanya mengumpul sebanyak 14 minit permainan bersama JDT kembali meniti di bibir penyokong Kedah dan mereka berpendapat beraksi sebagai pinjaman di Darul Aman mampu menyelamatkan kariernya.

Bukan itu sahaja, berikutan prestasi naik turun penyerang Kedah, Willian Lira juga menjadi faktor khabar angin Syafiq kembali ke pangkuan Sang Kenari menjadi realiti bagi menggantikan pemain import Brazil itu.

2) Shahrul Saad

WhatsApp Image 2023-05-02 at 17.35.40

Bukan hanya di JDT, Shahrul juga beraksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan untuk mengemudi jentera pertahanan. — Facebook/JDT

Bek tengah Harimau Selatan, Shahrul Saad bukan sahaja diimpikan kembali ke Perak FC, malah pasukan Hijau Kuning juga diam-diam menunggu kedatangan pemain itu di Darul Aman pada jendela perpindahan kedua nanti.

Musim lalu, pemain berusia 29 tahun itu merupakan pemain kesebelasan utama Harimau Selatan namun sejak kehadiran Jordi Amat dan Feroz Baharuddin, Shahrul hanya sekadar mengisi senarai pemain gantian.

Selepas sembilan perlawanan Liga Super musim ini, bekas ketua pasukan Perak FC itu hanya tampil dalam empat aksi dan mengumpul sebanyak 86 minit permainan.

Selain khuatir kariernya akan terkubur, Kedah juga memerlukan pertahanan kental seperti Shahrul yang mempunyai pengalaman luas dalam peringkat antarabangsa untuk membantu Bojan Ciger mengemudi bek tengah KDA FC.

Kini, Kedah hanya berharap kepada Rodney Celvin dan Akmal Zahir untuk membantu Ciger namun kedua-dua mereka dilihat belum berkemampuan untuk mengisi bahagian tersebut dalam tempoh 90 minit permainan.

3) Akhyar Rashid

WhatsApp Image 2023-05-02 at 17.35.51

Akhyar juga pernah dikaitkan dengan Sabah FC pada awal musim ini. — Facebook/JDT

Sejak awal musim ini, pemain sayap kiri, Akhyar Rashid sering dikatakan akan dilepaskan skuad Harimau Selatan dan menjadi pemain pinjaman kelab Liga Super seperti Sabah FC, Terengganu FC (TFC) serta Sang Kenari.

Pemain yang meninggalkan Kedah pada 2018 dan memutuskan untuk mengembangkan karier bersama JDT itu masih didambakan oleh penyokong Hijau Kuning dan berharap agar Akhyar kembali ke pasukan tersebut.

Antara alasan terkuat Akhyar didesak untuk menjadi pemain pinjaman adalah disebabkan kekurangan minit permainan yang mana dia perlu bersaingan dengan beberapa nama besar di JDT seperti Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri.

Dengan Sang Kenari kini hanya bergantung harap kepada Fayadh Zulkifli yang semakin kurang menunjukkan impak di bahagian sayap, penyokong mulai menggesa agar Akhyar kemballi membantu negeri kelahirannya itu.

4) Nazmi Faiz Mansor

WhatsApp Image 2023-05-02 at 17.35.27

Nazmi juga dikenali sebagai pemain yang mampu menjaringkan gol dari luar kotak. — Facebook/JDT

Arkitek tengah yang disambar dari Selangor pada 2019, Nazmi Faiz Mansor kini semakin malap bersama Harimau Selatan dan rata-ratanya berpendapat menjadi pemain pinjaman bersama pasukan lain mampu menghidupkan kembali namanya seperti dahulu.

Pada 2022, pemain yang kini berusia 28 tahun itu hanya diberikan sembilan penampilan bersama kesebelasan utama dalam kancah Liga Super dan tahun ini Nazmi hanya diturunkan dalam satu perlawanan liga.

Nazmi yang mahir melakukan jaringan di samping merencanakan gerakan pasukan itu dilihat boleh bergandingan bersama Manuel Ott bagi memperkukuhkan jentera tengah KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram