Pernah dikait ke Liga M, hantaran IG import Sepanyol buat fans satu Malaysia tak senang duduk


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Youssef (tengah) ketika menjaringkan gol sulungnya bersama Khon Kaen United dalam aksi Liga 1 Thailand.  — Facebook/Khon Kaen United

JENDELA perpindahan yang bakal dibuka pada Julai dijangka akan menyajikan lebih banyak hiburan buat penyokong bola sepak tanah air.

Selain dikatakan bakal melakukan rombakan terhadap pasukan, beberapa wajah baharu juga dilihat akan mewarnai kancah liga tempatan.

Pemain import yang pernah beraksi di negara-negara Asia Tenggara pastinya cukup dialu-alukan kehadirannya apabila mereka tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri.

Di samping itu, pengalaman pemain berkenaan pastinya cukup didambakan untuk menguatkan lagi skuad masing-masing, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Antara yang mula dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super ialah penyerang berdarah kacukan Sepanyol-Maghribi, Youssef Ezzejjari yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kontraknya bersama Khon Kaen United tamat.

Pemain yang baru sahaja mencecah usia 30 tahun Mei lalu itu cukup dikenali dengan rekodnya bersama dua kelab Indonesia, Persik Kediri dan Bhayangkara tidaklah begitu mengecewakan.

youssef-ezzejjari

Yousseff pernah mencetak nama ketika beraksi di Liga Indonesia.Agensi

Bagaimanapun, rentaknya di Liga 1 Thailand boleh dikatakan sedikit kekok apabila dia hanya menjaringkan satu gol dalam enam penampilan sejak menyertai kelab tersebut Januari lalu.

Rekod kurang prolifik itu menyaksikan Khon Kaen United mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya, sekali gus menyebabkannya berstatus ejen bebas.

Sebelum ini, Youssef dikhabarkan mula menarik perhatian Kuala Lumpur (KL) City FC dengan desas-desus mengatakan dia bakal menggantikan penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion.

Ini kerana Caion dilihat sebagai seorang pemain yang kurang memberi sumbangan buat skuad Warga Kota selepas hanya satu gol dijaringkannya dalam 13 penampilan Liga Super.

92661187-ba27-4420-a363-4811f6e664ae

Hantaran daripada Youssef mencetuskan pelbagai tanda tanya.

Jadi, dengan jendela perpindahan semakin mengampiri, khabar angin yang mengaitkan kedua-dua pihak itu sudah semakin kuat bertiup di media sosial.

Namun, pada Rabu, Youssef seakan-akan dengan 'sengaja' memberi klu bahawa dia semakin hampir untuk menyertai salah sebuah kelab tempatan.

Menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya, penyerang berketinggian 1.85 meter itu dilihat sedang bercuti di Malaysia selepas memuat naik sekeping foto yang menunjukkannya berada di Menara Berkembar Petronas.

Walaupun tidak disertakan dengan apa-apa penjelasan mengenai perkara itu, ia tidak menyekat orang ramai daripada terus menyebarkan ura-ura berkenaan.

Ketika ini, KL City FC memiliki barisan penyerang yang berkualiti dengan Romel Morales, Tchetche Kipre dan Haqimi Azim Rosli mampu beraksi di posisi berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram